HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Jun 2016

Saya sudah biasa hidup tanpa keistimewaan'


'Saya sudah biasa hidup tanpa keistimewaan'
Tun Dr Mahathir


SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak akan berasa kehilangan sekiranya kerajaan menarik balik bantuan yang diberikan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana selepas ini.

Namun begitu, kata Mahathir, beliau sedih kerana cadangan itu disuarakan sendiri oleh Pemuda Umno yang akan mewarisi negara dan kepimpinan di masa hadapan.

“Sebelum mendapat kuasa pun, kebengisan dan 'corruption of power' sudah ditunjuk.

“Saya biasa dan faham dengan kehidupan tanpa keistimewaan. Hanya saya sedih memikir masa depan negara tercinta ini.

“Apakah akan jadi kepadanya setelah budaya rasuah dipandang tinggi dan dipertahankan oleh yang akan berkuasa dan memerintah,” tulisnya di dalam blog chedet.cc hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Yayasan Kepimpinan Perdana tak layak terima bantuan]

Semalam, Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairul Azwan Harun dalam satu kenyataan mendesak kerajaan menghentikan segala bantuan termasuk kewangan dan harta tetap yang diberikan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, Khairul Azwan dan sekutunya didakwa mendapat kuasa (melalui rasuah) di negara ini dan mereka melihat suapan serta rampasan oleh kerajaan sebagai cara untuk mengekalkan kuasa.

“Ini jelas kerana hari ini, pemuda dan pewaris menyokong segala perbuatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dunia pandang jijik, serta menjatuhkan maruah negara bangsa,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan sememangnya mempunyai hak untuk menggunakan kuasa sedia ada yang diberi oleh rakyat untuk menghentikan bantuan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana selepas ini dan pihaknya tidak mempunyai sebarang halangan atas tujuan tersebut.


Tiada ulasan: