MALAYSIAKINI
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Noraini Idris berkata, Rosmah sebagai Penaung program Permata Negara (PERMATA) bercita-cita besar melihat kanak-kanak negara ini setanding dengan golongan itu di negara maju.
"Saya rasa kita kena betulkan pandangan masyarakat terhadap usaha beliau. Beliau pernah datang ke UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris), melawat Pusat Kanak-kanak di sini, melayan dan berinteraksi dengan pelajar.
"Bukan sekadar touch and go, dalam mesyuarat pun beliau tekankan mahu melihat anak-anak kita setanding di peringkat global," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Persidangan Antarabangsa PERMATA 2016 dengan tema 'Children Beyond Tomorrow' akan berlangsung selama tiga hari bermula Selasa sehingga 2 Jun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.
Noraini berkata sebagai penaung PERMATA, keikhlasan Rosmah untuk mengangkat martabat dan potensi kanak-kanak terbukti dengan usaha yang telah dilakukannya.
Katanya, sudah terbukti melalui PERMATA dan program yang dilaksanakan Rosmah berjaya membawa anak-anak di bawah program itu ke persada antarabangsa.
"Kalau kita tidak tahu mungkin akan ingat ini satu projek lain (tertentu), tetapi tidak. Memang niat beliau untuk melihat anak-anak kita setanding dengan anak-anak di negara-negara maju.
"Dan terbukti berjaya, kita dah bawa wakil kanak-kanak PERMATA ini ke pelbagai pertandingan di peringkat antarabangsa," katanya.
Mengulas mengenai persidangan yang julung kali diadakan itu, beliau yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pendidikan berkata, peserta terlibat perlu ambil peluang untuk menambah pengetahuan baru.
"Saya harap mereka dapat idea-idea baru dan juga idea tambahan daripada pelbagai penceramah, bengkel dan seminar sempena Persidangan Antarabangsa PERMATA 2016 daripada panel-panel luar dan dalam negara.
"Ini penting supaya peserta seperti guru-guru atau ibu bapa dapat berubah dan meningkatkan keseronokan proses pembelajaran kanak-kanak," jelasnya.
Persidangan tersebut akan memberi fokus kepada topik yang berkait rapat dengan tujuh inisiatif Permata iaitu Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Permata Negara), Bakat dan Kesenian (Permata Seni), Autisme (Permata Kurnia), Pembangunan Insan Melalui Al-Quran dan As-Sunnah (Permata Insan), Pendidikan Khas Untuk Pelajar Pintar (Permata Pintar), Pemerkasaan Remaja (Perkasa@Remaja) dan Kesihatan Kanak-kanak (Hospital Kanak-Kanak Permata).
Seramai 1,500 peserta bakal dihidangkan dengan pengisian menyeluruh melalui sesi forum, diskusi dan bengkel yang akan diadakan secara serentak.
Malah 15 penceramah terkemuka dari luar negara dan 33 penceramah tempatan akan memberikan ucapan dan membentangkan kertas kerja mereka pada persidangan ini.
Antara penceramah dari luar negara yang akan hadir adalah Prof Francoys Gagne dari Kanada, Prof Edward Melhuish dari England, Prof Dr Siti Chairani Proehoeman dari Indonesia, Dr LaMarr Darnel Shields, Prof Dr Pamela Wolfberg, Dr Andy Shih dari Amerika Syarikat dan Anthony Lloyd Sparnon dari Australia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan