KOTA BAHARU: Tindakan menyalahkan pengundi sebagai penyebab
pembangkang kalah pada dua Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah sesuatu yang
tidak wajar.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pembangkang
sebaliknya perlu menerima kekalahan itu dengan hati terbuka dan bekerja
lebih kuat untuk mendepani pilihan raya akan datang.
"Saya beri pandangan kepada semua pihak yang kalah supaya bersikap
terbuka dan realistik, sebagaimana kita (PAS) pun terima kekalahan itu
secara terbuka dan menganggapnya sebagai satu cabaran kepada kita untuk
memperkuat parti pada masa akan datang," katanya kepada pemberita
selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim, pada
Selasa.
Segelintir pemimpin pembangkang sebelum ini dilaporkan menyalahkan
pengundi di kedua-dua kawasan Parlimen berkenaan kerana masih memberi
kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk menerajui dua kawasan
terbabit.
BN menang besar dalam kedua-dua PRK itu dengan Datin Mastura Mohd
Yazid memperoleh majoriti 6,969 undi di Kuala Kangsar manakala Budiman
Mohd Zohdi meraih majoriti 9,191 undi di Sungai Besar.
Mohd Amar berkata walaupun PAS kalah di kedua-dua PRK berkenaan, namun
parti itu berpuas hati kerana masih mendapat sokongan daripada pengundi
di kawasan terbabit.
"Kita rasa berpuas hati dengan pencapaian kerana dalam suasana selepas
berlaku perpecahan dalam muktamar tahun lepas dan kemudian serangan dan
kritikan (negatif) yang dibuat kepada PAS, tiba-tiba kita masih
mendapat undi yang masih lagi kuat dan tidak mengalami perbezaan yang
begitu ketara (berbanding pencapaian) pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.
"Secara umumnya PAS tidak terjejas dengan pergolakan dalaman dan
kewujudan Amanah (Parti Amanah Negara) dan bagi kita ini satu kejayaan
kepada PAS," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan