HALAMAN SANTAI

Selasa, 21 Jun 2016

Tunai zakat segera, elak 'hutang' dengan ALLAH

Tunai zakat segera, elak 'hutang' dengan ALLAH
Mohd Rais (kiri) memberi penerangan pembayaran zakat kepada pengunjung di kaunter PPZ-MAIWP. - Foto: ROSLI TALIB
 
 
KUALA LUMPUR - Umat Islam yang masih belum menunaikan zakat fitrah dinasihatkan segera menunaikan Rukun Islam ketiga itu memandangkan Ramadan cuma berbaki 14 hari lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZMAIWP), Mohd Rais Alias berkata, mereka yang tidak membayar zakat fitrah boleh tergolong sebagai orang yang mempunyai hutang dengan ALLAH SWT.

“Kita perlu semak sama ada kita berhutang dengan ALLAH SWT atau tidak. Ini termasuklah dari segi solat, puasa dan tidak ketinggalan tuntutan berzakat.

“Umat Islam diingatkan agar tidak memandang remeh soal ini.

Sebab itu kita kena semak sama ada kita layak atau tidak menunaikan zakat bagi mengelakkan tergolong dalam kalangan orang yang berhutang dengan ALLAH SWT,” katanya.

Menurutnya, sikap membayar zakat fitrah di saat akhir perlu dielakkan kerana tempoh menunaikannya bermula dari awal Ramadan sehingga pagi Syawal sebelum solat sunat Aidilfitri.

“Jangan bertangguh kerana kita boleh dianggap berhutang jika tidak bayar zakat. Jika cukup haul (tempoh masa) dan cukup nisab, datanglah untuk bayar.

“Mereka yang bayar selepas waktu ditetapkan akan dianggap sebagai berdosa. Jadi umat Islam digalakkan bayar zakat fitrah awal bagi mengelakkan mereka terlupa atau terlepas di sebalik keghairahan membuat persiapan Aidilfitri,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, PPZMAIWP menyediakan 11 kaunter yang dibuka tujuh hari seminggu bagi memudahkan umat Islam di Wilayah Persekutuan menunaikan zakat.

“PPZ-MAIWP merupakan badan dilantik untuk kutip zakat dengan tauliah MAIWP.

Selain kaunter disediakan, mereka juga boleh membayarnya secara online di www.zakat.com.my,” katanya.

Katanya lagi, umat Islam tidak perlu ragu dengan kredibiliti PPZMAIWP untuk memungut zakat manakala agihan diuruskan oleh Baitulmal-MAIWP.

“Mereka tidak digalakkan mengagihkan zakat sendiri kerana dikhuatiri zakat jatuh sebagai sedekah jika diberikan kepada bukan asnaf.

Memberikan zakat kepada institusi zakat dilantik pemerintah adalah lebih praktikal kerana kita memiliki semua maklumat dan laporan asnaf,” katanya.

Selain itu, Mohd Rais menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak membayar zakat kepada amil yang tidak bertauliah.

“Menjadi satu kesalahan di bawah Akta Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) untuk memungut zakat tanpa pentauliahan MAIWP.
 
Jika disabitkan, mereka boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

“Akta sama memperuntukkan kesalahan bagi mereka yang membayar zakat kepada orang yang tidak bertauliah. Mereka yang melakukannya boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.


Tiada ulasan: