Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),
Anina Saadudin akan menjawab bersabit kedudukannya dalam parti selepas
mengadakan pertemuan kedua dengan Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir
Mohamad.
Pembantu peribadinya, Kasih Alyza Mohd. berkata, pertemuan kedua itu dijangka berlangsung pada 16 Januari (Isnin) ini.
"Selepas perjumpaan pada Isnin ini, kita akan keluarkan kenyataan,"
katanya kepada Antarapos, ketika ditanya perkembangan selepas perjumpaan
pertama antara Anina dengan Dr Mahathir.
"Sepatutnya selepas itu (pertemuan pertama) kita nak keluarkan
kenyataan, tetapi kita perlu jumpa Tun (Dr Mahathir) semula pada Isnin
(16 Januari) ini," katanya lagi.
Anina pada Isnin lalu mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir, susulan
penggugurannya sebagai Ketua Srikandi Wanita PPBM baru-baru ini.
Selepas daripada pertemuan pertama berkenaan, Anina meminta sedikit
masa bagi membolehkan dirinya 'menulis dari hati' bersabit isu yang
melanda dirinya.
Terdahulu sebelum itu, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin
memberitahu pengguguran Anina daripada jawatan sementara itu adalah
disebabkan 'prestasi' beliau.
Manakala Dr Mahathir pula menasihatkan Anina supaya tidak patah
semangat selepas beliau tidak dilantik menjawat jawatan berkenaan.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed yang
dilaporkan Antarapos sebelum ini berpendapat punca sebenar kepada
pengguguran Anina adalah kerana isu 'skandal seks', yang dikhuatiri
menjadi faktor yang menjejaskan sokongan rakyat terhadap parti yang baru
berusia kira-kira tiga bulan itu.
Sekalipun isu kurang enak melatari PPBM kebelakangan ini, parti itu
akan mengadakan majlis pelancarannya esok, bertempat di Stadium
Melawati, di sini.
Dalam pada itu Anina ketika ditanya mengenai kehadirannya ke majlis
pelancaran PPBM esok, memaklumkan beliau tidak dapat hadir kerana
mempunyai urusan keluarga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan