Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: Penganalisis politik menjangkakan pengganti Allahyarham Tan
Sri Adenan Satem akan berdepan dengan cabaran yang besar berikutan
prestasi Ketua Menteri Sarawak itu yang banyak membawa kemajuan kepada
rakyat dan negeri berkenaan.
Ujar pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Jeniri
Amir, pengganti Adenan mestilah seorang yang berupaya melakukan perkara
yang dikehendaki rakyat, seperti yang dibuat Allahyarham.
"Sesiapa pun yang dipilih dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak akan
berdepan dengan cabaran menggunung. Bagaimana untuk melakukan sesuatu
yang serasi yang telah dilakukan Adenan Satem dan diterima rakyat
Sarawak.
"Satu dari segi dasar yang dilaksanakan, dua dari segi pendekatan
politik beliau. Jadi itu amat mencabar dan bagaimana untuk meneruskan
perjuangan yang telah dimulakan beliau dan cuba laksanakan sebaik
mungkin. Bukan saja memenuhi harapan Adenan tapi harapan rakyat
Sarawak," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Adenan dilaporkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara di Kota
Samarahan pada jam 1.20 petang tadi kerana komplikasi jantung.
Adenan yang bakal menyambut hari kelahirannya yang ke-73 pada 27
Januari ini meninggalkan isteri, Puan Sri Jamilah Anu dan lima anak.
Justeru ujar Jeniri, penanda aras yang diletakkan Adenan berdasarkan
pencapaiannya akan menjadi cabaran kepada pengganti Allahyarham.
"Rakyat akan mengharapkan pengganti baru ini sama seperti Adenan tetapi
saya percaya bahawa pemimpin baru itu nanti akan berusaha sebaik
mungkin untuk tidak menghampakan harapan rakyat. Sedar akan tuntutan dan
cabaran besar yang berada dibahunya.
"Lebih lagi apabila Adenan meninggal ketika berada di puncak populariti beliau," katanya.
Tetapi beliau tidak melihat kejayaan yang dipacu Adenan ini akan menyukarkan kerajaan Sarawak untuk memilih calon yang terbaik.
"Saya tak fikir begitu, Adenan telahpun meletakkan calon yang bakal
menggantinya. (Ini kerana) beliau sedar bahawa berdepan dengan penyakit
maka segala kemungkinan boleh berlaku. Saya fikir Adenan telah membuat
perkiraan itu dalam percaturan politiknya dan kesinbambungan kepimpinan
Sarawak," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan