Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini
memberi amaran kepada Datuk Ibrahim Ali agar membatalkan niatnya untuk
menganggu-gugat kerusi PAS di Parlimen Pasir Mas.
Malah Tuan Ibrahim mencadangkan agar Presiden Perkasa itu mencari
kerusi lain yang bukan milik pembangkang, jika mahu menumbangkan
Umno-Barisan Nasional (BN).
"Bagi kita demokrasi ini boleh bertanding di mana-mana pun, cuma kalau
kita nak tumbangkan BN tidak perlulah bertanding di kerusi yang kita
(PAS) sudah menang," katanya ketika dihubungi Antarapos
Kenyataan itu merujuk kepada niat Ibrahim untuk bertanding dengan Ketua
Dewan Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Aziz bagi merebut kerusi
berkenaan pada PRU14 nanti.
Perkara itu diumumkan Ibrahim dalam satu sidang media di ibu negara semalam.
Kata Tuan Ibrahim lagi, tindakan Ibrahim ini akan mewujudkan
pertandingan tiga penjuru, sekaligus akan memberi kelebihan kepada BN.
"Bagi kita kerusi itu PAS sudah menang, jadi kalau dia (Datuk Ibrahim
Ali bertanding di kerusi yang sama seperti dia akan beri tongkat
(kemenangan) kepada Umno BN.
"Maknanya akan jadi tiga penjuru dan kemungkinan besar BN akan menang,
bagi kita lebih baik dia tidak ganggu kerusi yang PAS menang, sebab dia
pun kritik 1MDB jadi kena buktikan bahawa dia tidak akan bertanding di
tempat yang PAS sudah menang," katanya.
Ibrahim sebelum ini pernah menjadi Ahli Parlimen Pasir Mas bagi tempoh
2008 hingga 2013 dan kemudiannya digantikan dengan Nik Abduh selepas
Ibrahim kalah ketika bertanding atas calon Bebas pada PRU13 lalu.
Dalam pada itu Tuan Ibrahim turut berkata Himpunan 355 yang bakal
diadakan di Dataran Merdeka pada 18 Februari depan akan turut mengadakan
solat hajat.
Malah beliau menepis bahawa himpunan ini seperti demonstrasi yang sering dianjurkan pembangkang.
"Memang himpunan kita untuk solat hajat pun, namanya program himpunan
355 tapi kita tidak berarak dimana hanya satu himpunan dan ada kuliah,
munajat perdana dan solat hajat dan ucapan. Ini bukan demonstrasi hanya
himpunan sahaja.
"Mungkin kefahaman dia (Datuk Ibrahim Ali) bila ada solat hajat mesti
di masjid. Kita akan buat di padang," katanya merujuk kepada gesaan
Ibrahim Ali itu semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan