HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Januari 2017

"Jangan kritik disebabkan marah dan dendam", kata Utusan kepada Mahathir

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihatkan agar tidak terus mengkritik Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
 
Menerusi kolum pojok Utusan Malaysia yang ditulis 'Awang Selamat', kritikan ekoran sikap marah dan dendam Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu terhadap kepimpinan Najib mencerminkan sikap tidak profesional bekas pemimpin itu terhadap nilai sebenar bantuan berkenaan kepada rakyat yang memerlukan.
 
"Apa yang Mahathir lemparkan itu suatu penghinaan sedangkan rakyat berhak menerima bantuan seperti itu yang cukup bermakna. Mesej semua kepada Mahathir, BR1M bukan rasuah. Awang sedih kenyataan seumpama itu datang daripada seorang negarawan yang pernah 22 tahun menjadi Perdana Menteri.
 
"Usahlah merapu iaitu bercakap secara tidak rasional disebabkan amarah dan dendam. Salahkah kerajaan meringankan beban golongan rakyat berpendapatan rendah yang bukan kaya seperti Mahathir dan keluarganya. Untuk apa menafikan hak rakyat?," katanya.
 
Tulisan itu merujuk kepada kenyataan Dr Mahathir yang berkata pemberian BR1M yang diberikan oleh kerajaan adalah rasuah. 
 
Dr Mahathir turut mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggunakan BR1M untuk meraih sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang dan pemberian BR1M merupakan rasuah dan salah di sisi undang-undang.
 
Menurut Awang Selamat, Dr Mahathir tidak seharusnya mengkritik langkah Najib dengan memberikan bantuan malah harus berlapang dada untuk memperakui kebaikan yang dipamerkan inisiatif itu kepada rakyat.
 
Katanya lagi, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersikap realistik dengan menyatakan bantuan seumpama itu bukan rasuah namun merupakan hak untuk rakyat menerimanya.
 
"Cuma beberapa kerat termasuk Menteri Besar Selangor (Datuk Seri) Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR menyokong Mahathir. Awang percaya jika Azmin mahu menghentikan BR1M di Selangor rakyat akan bangkit menentang kerana merampas hak mereka. Lagipun bantuan BR1M bukanlah menyamai banyak bailout meneraln puluhan bilion ringgit ketika era pentadbiran Mahathir - diperoleh pihak tertentu sahaja.
 
"Janganlah Mahathir menjatuhkan keyakinan diri untuk bersaing politik dengan Najib hanya kerana faktor BR1M. Atau itu tujuan mencari alasan memandangkan gerakan politiknya yang tidak mendapat sambutan rakyat," katanya.
 
Kenyataan Dr Mahathir itu kemudiannya dibidas beberapa pemimpin Umno.
 
Antaranya Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Mohd Puad Zarkashi yang membidas langkah Azmin yang menyokong Dr Mahathir.
 
Katanya, sekiranya Azmin mengatakan BR1M itu rasuah, maka Azmin perlu menghentikan dulu pemberian air percuma.
 
"Azmin bersetuju dengan dakwaan Tun Mahathir (Mohamad) bahawa BRIM adalah rasuah. Ia berbeza dengan pandangan (presiden PKR) Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menolak pandangan Tun M itu.
 
"Persoalannya, apakah pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu di Selangor yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.1 bilion sejak 2009 itu bukan rasuah?" soal Puad dalam satu kenyataan.
 
"Kata Azmin pemberian BRIM melibatkan wang tunai berbanding pemberian air percuma. Di mana Azmin belajar bahawa pemberian rasuah hanya melibatkan wang tunai," kata Puad.
 
 

Tiada ulasan: