Roketkini.com
KUALA LUMPUR- Jika benar Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan khidmatnya sebagai Peguam Negara atas sebab kesihatan, mengapa beliau didapati berada dalam keadaan sihat dan baik ketika menghadiri majlis pentauliahan oleh Majlis Peguam baru-baru ini?
Persoalan itu dilontarkan oleh Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang berkata, Gani kini menyertai firma guaman, Gani Patail Chambers yang menandakan bahawa beliau mampu menjalankan tugas sebagai peguam.
Malah, beliau diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya.
“Bekas Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong turut mengatakan dalam ucapannya bahawa Gani berada dalam keadaan yang baik dan sesuai untuk menjadi peguam,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu kemudiannya menganggap, alasan kesihatan yang diberikan oleh Putrajaya atas pemecatan Gani bukanlah sebab sebenar.
“Tidak berkata benar mengenai pemecatan beliau sebagai Peguam Negara adalah tidak bermoral dan langsung tidak boleh diterima.
“Beranikah Perdana Menteri memberitahu rakyat Malaysia sebab sebenar Gani dipecat dalam ucapan Tahun Barunya nanti?” soalnya.
Gani pada 23 Disember lalu bersama lima yang lain diterima menjadi peguam oleh Majlis Peguam pada majlis di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk John Louis O’ Hara.
Beliau dilihat berada dalam keadaan baik dan sihat, justeru menimbulkan tanda tanya sama ada pemecatannya sebelum ini bukan berpunca dari masalah kesihatannya seperti yang didakwa kerajaan Persekutuan.
Nasib yang menimpa Gani pada tahun lalu itu memeranjatkan ramai pihak, termasuk Majlis Peguam sendiri memandangkan beliau adalah anggota penting dalam Pasukan Petugas Khas yang menyiasat skandal syarikat milik Kementerian Kewangan, 1MDB.
Presidennya, Steven Thiru sebelum ini mendakwa wujud campur tangan pihak berkepentingan, sama ada eksekutif atau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri dalam urusan Pasukan Petugas Khas itu yang mungkin mendorong kepada pemecatan Gani. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan