Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr
Mahathir Mohamad mendedahkan DAP ada meminta jawatan Timbalan Perdana
Menteri sekiranya pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau berkata DAP tidak meminta jawatan Perdana Menteri kerana akur
kaum Cina adalah golongan minoriti di negara ini namun meletakkan
harapan untuk mengisi jawatan kedua tertinggi negara.
"Kononnya kata Datuk Seri Najib, kalau Umno kalah, DAP menang, ia (DAP)
akan jadi Perdana Menteri. Tak mungkin kerana kalau DAP nak menang, ia
kena dapat sokongan parti Melayu yang lain.
"Mereka terang-terang kata kepada saya, bangsa Cina ini minoriti dalam
negara ini...dan DAP tak pernah minta menjadi Perdana Menteri.
"Tapi kalau timbalan itu, adalah.. Yang kata mereka nak jadi Perdana
Menteri adalah Datuk Seri Najib untuk menakut-nakutkan orang Melayu,"
katanya dalam program Warga Putrajaya bersama Tun Dr Mahathir di Yayasan
Kepimpinan Perdana, di sini, malam tadi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak yang berkata DAP berupaya menguasai kerajaan
sekiranya rakyat memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) untuk
menawan Putrajaya.
Sebelum ini bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim
mendedahkan wujudnya pakatan sulit antara Dr Mahathir dengan Lim Kit
Siang untuk menaikkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai
Perdana Menteri dan Penasihat DAP itu sebagai timbalannya, jika Pakatan
Harapan (PH) menang pilihan raya akan datang.
PPBM dan DAP menafikan pendedahan itu dan berkali-kali mengugut untuk
menyaman Tunku Aziz. Bagaimanapun hingga kini tiada saman di failkan
terhadap ahli politik veteran itu.
Najib ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri di
Padang Awam, Kuala Ketil, Kedah juga berkata DAP akan mengetuai
pembangkang berikutan mempunyai kerusi paling banyak di Parlimen
berbanding parti komponennya yang lain.
"Cuba bayangkan jika bumi Malaysia ini dikuasai DAP, apa implikasinya?
Ingat boleh mengadu atau berteduhdi bawah mereka? Di mana kita hendak
meminta dan pada siapa kita hendak merayu?" kata Najib dihadapan lebih
20,000 hadirin yang hadir.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata Najib sengaja memberi gambaran yang begitu buruk terhadap DAP.
"DAP ini bukanlah kuat sangat. Masa dalam Umno kita beri gambaran
mereka ini sangat jahat, terlalu kecinaan dan sebagainya. Ia bukan parti
Cina, ia parti pelbagai kaum.
"(Ketika hadiri satu majlis DAP), depan saya mereka berikrar menyokong
Perlembagaan. Maknanya dia memperakui kedudukan raja Melayu, sokong
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, agama Islam sebagai agama rasmi
negara dan keistimewaan Melayu," ujar beliau.
Ketika Perhimpunan Agung Umno 2016, Disember lalu, Najib berkata PRU
akan datang bakal memberi pilihan kepada rakyat sama ada mengekalkan
keindukan kerajaan pimpinan Umno atau keindukan kerajaan pimpinan DAP
yang mempunyai perjuangan sempit dan mengancam survival Bumiputera.
Beliau berkata, hak dan keistimewaan orang Melayu serta peningkatan
syiar Islam yang dipupuk dan dipertahankan Umno selama ini akan terhakis
sekiranya pengundi memilih PH pimpinan DAP pada PRU14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan