Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
BATU CAVES: Percanggahan pendirian bersabit jawatan tertinggi negara
antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP menyerlahkan
perpecahan dalam pakatan pembangkang.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata kenyataan bercanggah
yang diberikan pemimpin PPBM dan DAP jelas menunjukkan isu itu belum
selesai.
"Itu maknanya isu itu belum diselesaikan sebab DAP cakap lain dan Dr
Mahathir cakap lain. Saya fikir itu dengan sendirinya memberi gambaran
bahawa 'pakatan' (antara) mereka belum selesai," katanya ketika ditanya
selepas menghadiri program di Kompleks Industri Makanan MARA, petang
tadi.
Malam tadi, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan DAP
tidak pernah meminta jawatan Perdana Menteri sebaliknya hanya berminat
dengan kerusi Timbalan Perdana Menteri sekiranya pembangkang memenangi
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Kononnya kata Datuk Seri Najib, kalau Umno kalah, DAP menang, ia (DAP)
akan jadi Perdana Menteri. Tak mungkin kerana kalau DAP nak menang, ia
kena dapat sokongan parti Melayu yang lain.
"Mereka terang-terang kata kepada saya, bangsa Cina ini minoriti dalam
negara ini...dan DAP tak pernah minta menjadi Perdana Menteri.
"Tapi kalau timbalan itu, adalah.. Yang kata mereka nak jadi Perdana
Menteri adalah Datuk Seri Najib untuk menakut-nakutkan orang Melayu,"
katanya, malam tadi.
Sebelum ini bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim
mendedahkan wujudnya pakatan sulit antara Dr Mahathir dengan Lim Kit
Siang untuk menaikkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai
Perdana Menteri dan Penasihat DAP itu sebagai timbalannya, jika Pakatan
Harapan (PH) menang pilihan raya akan datang.
PPBM dan DAP menafikan pendedahan itu dan berkali-kali mengugut untuk menyaman Tunku Aziz.
Bagaimanapun hingga kini tiada saman di failkan terhadap ahli politik veteran itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan