SHAH ALAM: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri
Muhyiddin Yassin berkata tidak ada keperluan untuk mempersoalkan
kesetiaan beliau terhadap Sultan Johor namun menegaskan beliau senada
dengan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu pembangunan Forest City di
negeri itu oleh pelabur warga China.
Ujarnya, isu pokok bukanlah soal kesetiaan sebaliknya ia membabitkan isu kedaulatan.
"Isu yang berada di hadapan kita sekarang bukan isu kesetiaan. Isu pokoknya kedaulatan. Ia adalah soal prinsip.
"Apa prinsip kita mengenai kedaulatan negara dan kepentingan rakyat?
Adakah penjualan tanah-tanah kepada syarikat asing untuk dibina
rumah-rumah kediaman yang kemudiannya dijual sebahagian besarnya kepada
rakyat negara asing memenuhi kepentingan rakyat negara ini?
"Bagaimana pula tanah-tanah ini yang dimiliki secara kekal oleh rakyat
negara asing tidak mendatangkan ancaman kepada kedaulatan negara?," ulas
Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Aziz Kaprawi yang juga Ahli Parlimen
Sri Gading baru-baru ini berkata, Muhyiddin selaku anak Johor dan bekas
Menteri Besar di negeri itu selama sembilan tahun seharusnya menasihati
Dr Mahathir agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengundang
kemarahan pelbagai pihak termasuk Tuanku Sultan.
Muhyiddin bagaimanapun mendakwa apa yang berlaku di Forest City
bukanlah pelaburan asing, tetapi penjualan tanah kepada syarikat asing.
"Ketika saya menjadi Timbalan Perdana Menteri, saya mempengerusikan
Mesyuarat Majlis Tanah Negara yang dihadiri oleh semua Menteri Besar dan
Ketua Menteri.
"Dasar kerajaan pada ketika itu ialah tanah-tanah yang dijual kepada
pelabur asing mestilah tidak berstatus hak milik kekal. Ini penting
supaya tanah-tanah ini tidak jatuh ke tangan pihak asing.
"Adakah dasar ini telah tidak dipatuhi oleh kerajaan negeri Johor
ketika meluluskan penjualan tanah-tanah di Forest City kepada syarikat
asing? Atau adakah dasar mengenai pemilikan tanah oleh orang asing telah
berubah?
"Persoalan ini perlu dijawab oleh kerajaan negeri Johor dan kerajaan Persekutuan," soalnya lagi.
Menurutnya, walaupun persoalan mengenai tanah adalah bidang kuasa
negeri namun dakwanya, kerajaan negeri boleh mengenepikan dasar
pemilikan tanah oleh warganegara asing dan sekatan-sekatan yang biasa
dikenakan ke atas pemindahannya boleh diketepikan begitu sahaja hanya
dilihat dari sudut keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan soal hak
dan kedaulatan negeri.
"Tanah Besar China mempunyai agenda tertentu untuk menawan ekonomi
wilayah termasuk rantau ini menerusi Gagasan Laluan Suteranya. Itulah
juga yang diperingat oleh Tun Mahathir
Justeru ujarnya, kesetiaan tidak sepatutnya bersifat membuta tuli sebaliknya berpaksikan kepada prinsip kebenaran.
"Itu juga yang diajar oleh agama Islam. Ketika kedaulatan negara sedang
tergugat dan kepentingan rakyat terancam, maka sebagai seorang
warganegara yang setia kepada raja dan negara, tanggungjawab saya adalah
untuk bercakap benar," ujarnya lagi.
Mahathir sebelum ini menggunakan laporan agensi berita Barat untuk
membidas projek Forest City, menyebabkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim
Ismail membidas mantan Perdana Menteri itu kerana menggunakan hujah yang
remeh dan tidak tepat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan