Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN]
Pendirian PKR berhubung nasib orang Melayu Pulau Pinang adalah cukup
jelas. Secara rasminya parti reformasi itu insaf bahawa DAP tidak mampu
membela nasib mereka.
"Harus diingat Ketua Menteri daripada kaum Cina, seorang pimpinan DAP.
Maka tentulah beliau hendakkan input dari orang Melayu yang di luar
DAP.
“Beliau boleh dapat (pandangan) dari exconya, namun kesemua mereka
berada di bawahnya. Tentunya mereka akan mempunyai pandangan berbeza.
Namun lebih penting, katanya, sebagai seorang pemimpin Melayu PKR,
Saifuddin terjun ke Pulau Pinang untuk membantu menaikkan taraf
ekonomi dan sosial kaum Melayu.
“Apakah itu salah?," soal Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani.
Sudah tentu jawapan pada persoalan Johari ialah, ia memang tidak salah.
Memang tanggungjawab setiap parti politik Melayu-Islam seperti PKR
ialah membantu umat Melayu-Islam tidak kira di mana.
Lebih memilukan ialah kenyataan Johari itu adalah pengakuan bahawa
perwakilan PKR dalam kerajaan Pulau Pinang sejak sembilan tahun lalu
memang tidak berkesan melonjakkan mutu kehidupan rakyat Melayu-Islam di
negeri itu.
PKR mempunyai wakil rakyat Melayu sejak 2008 hingga ke peringkat
Timbalan Ketua Menteri. Ia juga mempunyai ahli exco dalam kerajaan
negeri.
Kenapa Saifuddin dilantik sekarang?
Bagaimanapun sedihnya, di akhir musim kedua pemerintahan DAP dan PKR di
Pulau Pinang barulah usaha “memperjuangkan agenda Melayu-Islam” hendak
diperkasakan dan PKR bersorak bahawa Setiausaha Agungnya orang paling
layak menggalas tugas itu.
"Sebagai seorang bekas setiausaha politik menteri dan sekarang
Setiausaha Agung PKR dan pernah menjadi ADUN dan Ahli Parlimen, maka
tidak ada orang yang lebih layak daripada beliau (Saifuddin) untuk
menasihati Ketua Menteri atas isu-isu khususnya melibatkan orang
Melayu," katanya.
Saifuddin, minggu lalu dilantik kerajaan negeri sebagai Penasihat
Strategik Guan Eng dan inisiatif itu menurut Guan Eng ialah untuk
memulihkan imej DAP yang sebelum ini didakwa sebagai anti-Melayu dan
Islam.
Tiada siapa yang harus mempertikaikan kemampuan Saifuddin. Beliau
pemidato yang baik dan pengurus politik yang cekap. Bagaimanapun,
mengapa bakat dan kemahirannya tidak digunakan sepenuhnya untuk
meningkatkan nasib rakyat Selangor yang diperintah PKR?
Bukankah di akhir era pemerintahan Tan Sri Khalid Ibrahim yang mewakili
PKR, nama Saifuddin telah direstui oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri
Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai ketua staf di pejabat Khalid?
Ketika itu, Khalid bermasalah dalam merapatkan perkhidmatan kerajaannya
dengan aspirasi PKR. Namun Khalid berjaya menyekat Saifuddin mengisi
jawatan berkenaan sehingga akhirnya Khalid meletak jawatan.
Kepakaran Saifuddin diperlukan untuk bela nasib Melayu-Islam Pulau Pinang?
Isunya kini, inisiatif “meminjamkan” kepakaran Saifuddin ini
mendedahkan bahawa baik DAP mahupun PKR hanya bekerja untuk rakyat
Melayu-Islam Pinang pada saat-saat akhir sahaja.
Dengan perkataan lain soal kebajikan orang Melayu-Islam di Pulau
Pinang, baik di mata DAP mahupun PKR, bukanlah satu keutamaan. Kini
dalam menghadapi PRU 14, barulah kedua-duanya (bekerjasama?)
meningkatkan pembangunan untuk mereka.
Setelah meminggirkan kepentingan Melayu Islam di negeri itu barulah
mereka terkocoh-kocoh mencari Saifuddin untuk membuat perbaikan.
Yang dikhuatiri ialah, dengan masa yang semakin suntuk menjelang PRU
14, sudah tentu apa yang mampu dilakukan oleh Saifuddin ialah
pembangunan bersifat tempelan atau kosmetik sahaja.
Inisiatif Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memang baik. Namun soal keikhlasannya wajar dipersoalkan.
Restu dan sokongan PKR untuk “menutup” kelemahan DAP adalah satu
persekongkolan untuk “mempermainkan” nasib Melayu-Islam di negeri itu.
Bakat dan kepemimpinan sebenar Saifuddin agak terlindung oleh sifir
politik ini.
Ini kerana PKR perlu mengimbangi keghairahan Amanah untuk mempamerkan
kemampuan kepimpinannya di Selangor melalui wakil-wakil dan kerajaan
tempatan dengan prestasi wakil PAS yang masih menjadi sekutu PKR di
Selangor.
Namun mungkin Azmin dan konco-konconya yakin bahawa kerajaan
pimpinannya masih kukuh dan tidak akan tumbang tanpa sokongan dan usaha
daripada jentera PKR di bawah pimpinan Saifuddin.
Usahlah Saifuddin nanti terkilan PKR ‘menang sorak tetapi kampung
tergadai’ di Selangor kerana sibuk ‘menyusukan kera politik DAP di Pulau
Pinang dan anak siasah PKR di Selangor mati kelaparan’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan