Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: 'Pertikaman lidah' antara Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku
Ismail Sultan Ibrahim dan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan
(KAFA) Tan Sri Annuar Musa perlu dihentikan demi kelangsungan arena bola
sepak negara.
Menurut Blogger dan pengulas sukan Rizal Hashim, jika trend itu tidak
dihentikan segera ia akan memberikan kesan kepada hasrat mereka untuk
bertanding jawatan tertinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak
lama lagi.
"Tidak manis untuk kedua-dua tokoh ini bertegang leher di media sosial kerana kedua-dua ada pengaruh besar.
"Sewajarnya bagi mana individu yang berminat untuk menjadi pemimpin
paling tinggi di FAM jadi kena tunjukkan bukan sahaja hebat di media
sosial tetapi menjadi contoh yang boleh diikuti oleh masyarakat umum,"
katanya ketika kepada Antarapos.
Terdahulu Tunku Ismail menuduh Annuar yang juga Pengerusi MARA memaksa
badan itu dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) membuat tajaan secara
paksa kepada pasukan bola sepak Kelantan.
Annuar yang juga Ketua Penerangan Umno menafikan kenyataan itu dan
bertegas MARA tidak pernah menaja pasukan bola sepak Kelantan, The Red
Warrior (TRW) tetapi diberikan penghormatan oleh agensi itu.
Anwar sebelum menyatakan kesediannya untuk bertanding jawatan Presiden FAM pada pemilihan kongres persatuan itu akan datang.
Tunku Ismail juga bersedia menimbang untuk menjadi presiden persatuan
itu sekiranya mendapat permintaan daripada peminat bola sepak tanah air.
Mengulas lanjut mengenai 'pertikaman lidah itu', Rizal berkata insiden
itu akan kembali menghangatkan Liga Super yang membuka tirainya, 20
Januari depan.
"Ini semua sebahagian daripada rencah dan warna warni menjelang sepak
mula Liga Super. Tuduh menuduh dan saya rasa ini sebahagian daripada
cara bagaimana untuk mempromosikan Liga Malaysia secara baik.
"Ia kontroversi kerana kalau kita lihat perkembangan Liga Super tidak
ada sebarang promosi di televisyen sekarang. Jadi drama-drama ini
terpaksa dicipta oleh pelakon-pelakon utama di peringkat tempatan tetapi
saya percaya dua tokoh ini yang ada hajat besar untuk memimpin bola
sepak negara (FAM) tidak manis kalau asyik berdebat dan juga tuduh
menuduh di media sosial," ulas Rizal lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan