Oleh Nur Atiqah Abd Samad
PETALING JAYA: Kerajaan Selangor disaran mengambil inisiatif untuk
membantu pasukan bola sepak negeri itu demi memastikan kelangsungan
mereka untuk beraksi pada Liga Malaysia, 21 Januari depan.
Pengkritik sukan tanah air Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim
berkata, Selangor merupakan negeri terkaya dan mempunyai badan bukan
kerajaan (GLC) yang boleh memberi bantuan daripada segi penajaan.
"Kalau ahli politik nak minta bantuan badan syarikat (GLC) bukan
masalah, ada begitu banyak badan perniagaan yang sangat berjaya di Kuala
Lumpur, mengapa Selangor tiada wang pula?
"Banyak syarikat yang mampu untuk membantu," katanya dalam satu temubual bersama Antarapos.
Selangor pada Disember lalu mengumumkan akan menarik diri musim depan
jika gagal mendapat tajaan sejumlah RM15 juta sebelum sepak mula Liga
Malaysia.
Tindakan itu terpaksa diambil susulan tiada sebarang petanda positif
daripada kerajaan negeri bahawa akan ada sebarang bantuan kewangan
kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).
Keadaan itu jelas 'menekan' FAS yang perlu bekerja keras mendapatkan dana sendiri daripada pihak penaja dalam tempoh sebulan.
Malah Kay Kim berkata lagi, jika kerajaan negeri tidak memahami selok
belok mengenai sukan bola sepak, adalah lebih baik 'mengupah' pihak yang
boleh menguruskannya dengan baik.
"Kalau kerajaan negeri sendiri tak faham, pilihlah orang yang faham
untuk membantu. Ahli politik sendiri mungkin tak faham sebab tak
bermakna dia tahu tentang sukan," katanya.
Dalam pada itu tambahnya, tajaan yang diberikan kepada pasukan bola
sepak Selangor hendaklah meletakkan satu penanda aras dalam menjaga
kualiti pemain dan jurulatih secara amnya.
"Kalau nak memberi sumbangan semestinya ada syarat, kalau dalam tiga
tahun tak berjaya bantuan (tajaan) itu akan dihentikan," ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan