KUALA NERUS: Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengkritik status ibadah haji
Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1MDB mungkin terlupa anaknya,
Datuk Seri Mukhriz juga pernah mencalonkan 20 jemaah bagi menyertai
program yang sama.
Justeru pengerusi jawatankuasa program berkenaan, Datuk Jailani Ngah,
menyifatkan tuduhan melulu bekas perdana menteri itu hanyalah
bermotifkan politik semata-mata.
Beliau berkata majoriti mufti dan ulama di negara ini telah membantah
sekeras-kerasnya tuduhan itu kerana mabrur atau tidak haji seseorang itu
hanya ditentukan Allah SWT sahaja.
"Tidakkah Tun Dr Mahathir terfikir kenyataannya itu mengguris hati
anak-anak dan isteri, kerana ada bapa atau suami mereka yang telah
menunaikan haji dalam program khas ini meninggal dunia semasa di Mekah
dan selepas pulang ke tanah air, dipersoalkan status mabrur arwah?
"Mungkin Tun Mahathir terlupa, sepanjang anaknya (Mukhriz) menjadi
Menteri Besar Kedah, 20 orang telah pun menyertai program khas haji ini
sejak 2013 hingga awal 2016," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan
Surat Tawaran Pencalonan Haji Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan
1MDB 2017, yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad
Razif Abdul Rahman di sini hari ini.
Jailani turut mendesak Dr Mahathir menjawab persoalan sama ada status
ibadah haji yang dicalonkan Mukhriz itu mabrur ataupun tidak, serta
reaksi daripada 20 jemaah terbabit.
Sementara itu, pada tahun ini, 110 imam, bilal dan pemimpin masyarakat dari Terengganu akan menyertai program khas haji itu.
Ditanya sama ada program berkenaan masih mendapat sambutan selepas Dr
Mahathir membuat tuduhan itu, Jailani yang juga setiausaha politik
kepada perdana menteri berkata, pihaknya menerima lebih 2,000 pencalonan
berbanding kuota ditetapkan sebanyak 1,100 jemaah.
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terjejas walau
sedikit pun dengan tuduhan itu, malah ini cabaran untuk memastikan
program berkenaan terus berjalan lancar agar memberi manfaat kepada
lebih ramai umat Islam untuk menunaikan rukun Islam kelima itu dengan
lebih cepat secara percuma.
"Hasrat perdana menteri hanya satu...mahu semua imam, bilal dan
pemimpin masyarakat yang belum mengerjakan haji agar melaksanakannya
dalam tempoh pemerintahannya sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan
sumbangan mereka kepada agama, bangsa dan negara," katanya.
Pada tahun ini juga, program tajaan haji itu akan diperluaskan kepada
penghulu atau penggawa, pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan
wakil pejabat mufti di seluruh negara.
Sejak program khas berkenaan diperkenalkan pada 2011, sebanyak 4,611
imam, bilal dan pemimpin masyarakat telah mengerjakan haji menerusi
tanggungjawab sosial korporat 1MDB itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan