Sumber foto: http://abdnaddin.blogspot.my/
KOTA KINABALU
– Kerajaan negeri mencadangkan Dewan Turnbull, yang merupakan tapak
bangunan lama Maktab Sabah, diwartakan sebagai tapak bersejarah di
negeri ini.
Menteri
Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun
berkata, pewartaan itu akan memudahkan kementeriannya menjaga dan
memulihara khazanah sejarah institusi pendidikan itu untuk dinikmati
generasi muda.
Katanya,
tapak lama Maktab Sabah itu mempunyai nilai sejarah tersendiri dalam
pendidikan termasuk melahirkan ramai tokoh pemimpin Sabah termasuk Yang
Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa
Aman.
“Apabila
diwartakan sebagai bangunan bersejarah, salah satu syaratnya ialah
bangunan itu hendaklah kekal sama dengan bentuk asal,” katanya berucap
pada Sambutan Jubli Intan 60 tahun Maktab Sabah (1957-2017) di sini hari
ini.
Masidi
yang juga bekas pelajar Maktab Sabah mewakili Musa melancarkan sambutan
itu yang turut dihadiri oleh bekas pelajar Maktab Sabah dari awal 60-an
sehingga kini.
Masidi
berharap cadangan perwartaan itu mendapat sokongan warga Maktab Sabah
termasuk bekas pelajar dalam menjadikan bangunan lama itu sebagai
motivasi kepada generasi baharu sekolah terbabit untuk terus mengekalkan
kecemerlangan.
Selain
itu, katanya, pihak pengurusan sekolah juga perlu memastikan bangunan
lama itu menonjol sebagai tapak bersejarah di Sabah apabila ia
diwartakan kelak.
Beliau
juga mencadangkan beberapa bilik yang terdapat di dewan itu dijadikan
sebagai muzium sekolah dengan memaparkan kejayaan dan pencapaian
cemerlang sejak Maktab Sabah mula ditubuhkan.
Sebelum
ini, bangunan lama Maktab Sabah itu terbiar selepas sekolah berkenaan
berpindah ke tapak baharu, namun, pihak pengurusan sekolah telah membaik
pulih bangunan berkenaan bagi kegunaan pelajar tingkatan enam sejak
tiga tahun lepas.
Mengenai
sambutan ulang tahun Maktab Sabah ke-60, Masidi berharap sambutan Jubli
Intan itu akan menjadi pemangkin dan pencetus semangat untuk seluruh
warga sekolah menggenggam lebih banyak kecemerlangan pada masa akan
datang.
Pada majlis itu, Masidi turut merasmikan Collegian Square yang disaksikan oleh Pengetua Maktab Sabah Nuinda Alias. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan