Oleh Mohd Sayuti Omar
Serius saya mendengar ucapan penggulungan oleh Setiausaha Agung Parti
Amanah Negara (AMANAH) Mohd Anuar Tahir di Konvensyen Nasional ke-3
parti itu, yang menaburkan harapan begitu indah terhadap masa depan
partinya. Anuar mengukir masa depan Amanah yang bergitu
“bersinar-banar”.
Dapatan yang dibuat berhubung potensi parti itu sungguh besar sekali
sehingga terasa macam Amanah boleh memeluk cakerawala bulan dan mentari.
Tuturnya penuh keyakinan, tahun hadapan parti itu akan mempunyai lebih
1,000 cawangan di seluruh negara. Unjuran ini dibuat berpandukan kepada
permohonan untuk menubuh cawangan parti itu diterima setiap hari. Ladang
yang dikatakan subur untuk Amanah ialah di Kelantan, bilamana bilangan
keahliannya bertambah, 10,000 perbulan?
Gambaran diberikan Anuar itu seolah-olah parti itu berkembang pesat
dengan laju tanpa sedikit pun ada halangan (handicap). Beliau melakar
keyakinannya, ia akan suskes dengan hanya kalau ada kesungguhan di
kalangan ahli menggerak parti berkenaan. Semestinya sebagai seorang
setiausaha agung menjadi arkitek utama beliau harus berwawasan begitu,
setidak-tidaknya ke hadapan setapak daripada orang lain.
Paling menseriaukan apabila beliau mendendangkan AMANAH akan jadi parti
terbesar di negara ini? (Mungkin dalam konteks Islam). Mendengarnya
sungguh indah, tetapi agak sukar menyakinkan jika tidak disertai dengan
fakta dan hujah konkrit. Sayang beliau tidak banyak mengemukakan dalil
dan hujah membenarkan apa dibayangkan itu di hari akhir konvensyen
berlangsung di Ipoh dari 14 hingga 15 Disember itu.
Tidak ada dalil-dalil dan bukti sokongan lain yang dibaca untuk
menunjukkan parti itu memiliki potensi besar, melainkan berpandukan
kepada permohonan yang bertambah. Mungkin peringkat awal boleh diterima
tetapi bukan untuk seterusnya.
Dalam bersemangat itu, seperkara Anuar harus ingat penambahan cawangan
dan ahli tidak menjadi kemestian Amanah akan menang besar dalam pilihan
raya. Banyaknya cawangan bukan menjadi indikator pasti untuk menang.
Sejarah dilalui oleh parti lain boleh dijadikan sempadan dalam melihat
potensi harapan itu. Ada parti yang mempunyai keahlian yang ramai,
cawangan yang banyak, tetapi tewas dalam pilihan raya.
Lihat kepada Umno. Parti itu mempunyai cawangan ribuan dan keahlian
mencecah jutaan, bahkan pernah dinobatkan sebagai parti Islam terbesar
di dunia. Umno berbangga dengan keahliannya yang banyak. Tetapi bila
pilihan raya mereka gagal. Di banding dengan Pas tidak mempunyai banyak
cawangan tetapi menang, khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Kontradik ini memberi tahu bahawa komitmen ahli sangat penting dalam hal
ini.
Justeru disamping perbanyakan cawangan dan keahlian, komitmen dan
penglibatan ahli seluruhnya perlu digerak dan dimantapkan. Jangan hanya
berharap kepada jumlah cawangan sahaja. Cawangan Amanah mungkin akan
tumbuh bagaikan jamun selepas hujan, kerana Amanah kini bukan lagi parti
pembangkang jadi permintaan untuk mewujudkan cawangan banyak. Mereka
yang berusaha menubuhkan cawangan mungkin bertitik tolak daripada
membina landasan untuk mendapat habuan.
Nah, kalau begitu, Amanah akan terpedaya dengan jumlah cawangan banyak.
Apa yang penting ialah komitmen ahli dan penyokongnya. Amanah hendaklah
memiliki ahli dan penyokong berkualiti, berilmu, bersemangat dan
berprinsip daripada memiliki cawangan yang ditubuh atas matlamat
“perniagaan”.
Di bawah ini saya ada beberapa pandangan dalam membantu Amanah mencapai
impian yang digagaskan oleh Anuar Tahir itu. Ia sebagai tambahan kepada
beberapa cadangan yang dilontarkan oleh para perwakilan yang berbahas
dalam konvensyen tempoh hari.
Parti berbeza dengan parti lain
AMANAH kena membuktikan yang ianya adalah parti yang berbeza dengan
parti lain, baik dari segi pendekatan dan juga memberi manfaat kepada
ahli. Setuju dengan cadangan Naib Presiden Dr Hasan Baharum semasa
menggulung perbahasan yang mahu Amanah menjadi parti membawa rahmat dan
kesejahteraan kepada umum. Misi dan visi inilah yang bakal meletakkan
Amanah sebagai parti baharu, berbeza dengan parti lain.
Namun ia tidak cukup dengan slogan itu sahaja sebalik ia harus
diimplimenkan. Seperti mana kata Dr Hasan apa yang perlu ialah
melaksanakan apa yang disebut itu.
Ertinya di sini AMANAH harus memimpin dengan akhlak, bertindak dengan
akhlak serta membingkaikan semua kegiatan perjuangan berdasarkan prinsip
dan konsep parti, Rahmantanlilalamin. Baik ketika berhadapan dengan
ahli, masyarakat umum atau pun musuh.
Serlahkan budi pekerti dan kehemahan dalam Amanah. Bila sebut musuh
ialah golongan dalam Pas. Amanah tidak seharusnya mengikut rentak Pas
dalam berpolitik terutamanya ketika berlaku perang mulut – perang siber.
Serangan kepada Pas dalam bentuk jenaka, sinis, menggunakan metafora
sebagainya tidak menguntungkan AMANAH. Ia hendaklah dihentikan. Serangan
begitu hanya meletakkan minda politik AMANAH sama taraf dengan politik
Pas. Gelagat begitu juga akan memperlihatkan dendam di kalangan AMANAH
kepada Pas yang kemudian menampakkan AMANAH parti mendendami orang lain.
Kecaman dan marah Pas harus dilayan dengan seadanya tanpa bertindak
balas sehingga menampak diri kita pula lebih.
Molek sangat kalau semua pemimpin AMANAH dan ahlinya serta penyokongnya
menamatkan cara menyerang Pas sebaik selesainya konvensyen tempoh hari.
Perhatian kepada pengundi
Perkara kedua ialah, memberi perhatian kepada pengundi muda yang akan
bertambah dan melimpah sekiranya peraturan menghadkan usia pengundi
dianjakkan kepada 18 tahun pada pilihan raya akan datang. Dianggarkan
jumlah pengundi muda akan melebihi 65% pada Priaum akan datang. Ini
cabaran dan kehadiran pengundi muda (fresh), kewujudan mereka ini
merupakan ladang subur buat AMANAH.
AMANAH jangan hanya mensasarkan untuk mengambil penyokong Pas sebagai
ahlinya. Penyokong dan apa lagi ahli Pas bukan mudah untuk disihirkan
agar menyokong Amanah. Mereka sudah menganuti teori politik yang
meletakkan mereka akan hidup dan mati dengan Pas. Garisan hukum hakam
agama yang mereka modified bagi kepentingan siasah mereka, menjadikan
mereka sedia syahid bersama Pas.
Penyokong Pas yang sudah dikunci mindanya, tidak mungkin berubah sebelum
pemikiran mereka digempur terutamanya Pas di Kelantan dan Terengganu.
Jadi golongan berpotensi untuk dijinak sebagai ahli golongan bebas
berpolitik seperti kalangan kakitangan kerajaan yang sudah pencen dan
mencemuhi Umno.
Jangan sesekali menyangka apabila AMANAH menjadi sebahagian daripada
kerajaan mereka mudah untuk mempengaruhi ahli Pas bersama mereka.
AMANAH harus bergerak dari sekarang untuk membimbing pengundi baharu
memahami politik dan mengenali parti politik yang memberi harapan masa
depan kepada mereka. Golongan muda dan bakal-bakal pengundi harus
didekati dan memberi didikan siasah.
Dalam hal ini AMANAH perlu bertindak menjadi institusi kemasyarakatan
yang lebih luas daripada menjadi badan politik yang dilihat hanya untuk
mengejar kekuasaan.
AMANAH perlu menyembunyikan cita-cita untuk mendapat kuasa, tetapi
menyerlahkan keikhlasan dan ketulusan dalam membangun ummah. Peranan
Amanah ialah menjaminkan kesejahteraan rakyat, keamanan negara serta
melengkapi mereka dengan ilmu duniawi dan ukhrawi. Hari ini dilihat
kesejahteraan akhirat kurang dipertuturkan oleh Amanah, sehinggakan ia
dilihat peranan keakhiratan itu berasingan dengan peranan duniawi.
Kerja-kerja kebajikan dari semua aspek, sosial politik, budaya, ekonomi
dan pendidikan hendaklah diperlebarkan. AMANAH harus dilihat sebagai
sebuah NGO yang bukan berada dekat dengan rakyat tetapi berada di hati
rakyat. Bukan sahaja memberi material, tetapi memberi semangat
(sipirit). Perbanyakkan ruang-raung atau medan aktiviti dengan rakyat,
percampuran dengan rakyat khasnya golongan muda.
Apabila bercakap usaha memperluaskan peranan dan aktiviti ia tidak boleh
dipisahkan dengan usaha mempergiatkan penerangan. AMANAH harus
mempunyai jaringan maklumat yang luas. Peranan media sosial harus
diperluas dan secara sistematik.
AMANAH perlu membentuk dan melatih kader-kader penerangan sendiri yang
berilmu, baik bertindak sebagai persisik maklumat, membalas dan
menjelaskan isu, dan menerangkan. Sebaiknya gerakan ini hendak sepadu,
teratur dan bertatasusila seperti mana disarankan Dr Hasan. Dan
kewujudannya juga tidak boleh secara bebas (volunteer) tetapi harus
diformasi dan dimobilisasikan.
Kekalkan integriti
Paling penting juga, pemimpin Amanah perlu berintegriti berpaksikan
kepada konsep AMANAH yangl fatanah. Kelainan juga harus ada kepada
pemimpin, cerminkan saksiah pemimpin AMANAH yang berbeza dengan pemimpin
lain. Terutamanya yang kini sudah menjadi menteri, timbalan menteri dan
menjawat jawatan agensi kerajaan, yang jadi pegawai menteri dan
lai-lain. Mereka harus menjaga akhlak dan memelihara integriti sebagai
orang Amanah.
Jangan sampai ada terdengar mana-mana pegawai atau pemimpin AMANAH
terbabit dengan rasuah. Sifirkan persepsi ini. Pegawai yang menuntut
bayaran, menerima komisyen dari proposal yang disalurkan kepada menteri
dan sebagainya tidak perlu diperdengarkan. Perbuatan dan kerja sambil
menyelam minum air begitu jangan kedengaran sama sekali kerana ia
menjejaskan potensi besar AMANAH itu.
Di samping itu pemimpin AMANAH bertaraf menteri khasnya harus
menunjukkan kemampuan dan kewibawaan mereka sebagai menteri. Mereka
harus lebih kreatif dalam menuangkan idea menerusi kementerian yang
mereka wakili. Kejayaan mereka memaparkan idea dan melakukan pembaharu
dalam kementerian akan dilihat keupayaan AMANAH dan memberi aset buat
parti itu. Tidak cukup menteri berpakaian kemas segak tetapi idea
“komang”.
Konsep Rahmatan-lilalamin juga perlu diperjelas dan diperincikan
selumat-lumatnya. Hari ini rakyat hanya tahu menyebut perkataan
RAHMATAN-LILALAMIN seperi mana menyebut Islam Hadari, atau Wasattiyah,
tetapi masih kabur dan jahil dengan prinsip dan ciri-cirinya yang harus
dihayati kemudian dilaksanakan.
Maka penerangan bersepadu secara konsisten perlu diadakan. Mungkin
Amanah menerusi Jabatan Kemajuan Agama (Jakim) yang kebetulan berada di
bawah bidang kuasa menteri AMANAH boleh memainkan peranan ini.
Jika segala itu dapat dilaksanakan dengan baik dan kemas, insyaAllah
Amanah boleh atau benar-benar merealisasikan apa diucapkan Naib Presiden
Husam Musa; AMANAH parti masa depan, Pas parti masa lampau. Sebaliknya
kalau tidak disusun atur dengan baik AMANAH hanya menjadi parti retorik
yang bernyanwa pendek sahaja. Kemenangan dan kejayaan dicapai dalam
Piraum lalu bukan penamat kepada segala perjuangan. Cabaran sebenarnya
Amanah ialah mendepani masa depannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan