KEKURANGAN guru
Pendidikan Islam terutamanya mereka yang mengajar di Sarawak perlu
dipenuhi dengan segera supaya anak-anak Muslim mendapat pendidikan Islam
yang sempurna.
PAS mengalu-alukan guru Pendidikan Islam
dari Semenanjung untuk terus berkhidmat di Sarawak, terutamanya untuk
anak-anak Muslim di Sarawak yang memerlukan bimbingan dalam mata
pelajaran pendidikan Islam.
Mereka datang ke Sarawak sebagai
memenuhi kehendak dasar pendidikan negara yang mengajar anak-anak Muslim
untuk memahami dan mengamalkan Islam, adab, etika dan cara hidup Islam
supaya menjadi muslim yang lebih baik lagi.
Mungkin ada salah faham tentang makna
dakwah seolah-olah memaksa orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam
itulah sebabnya orang berfikir guru agama Islam datang ke Sarawak
menyasarkan untuk berdakwah kepada orang bukan Islam untuk memaksa
mereka untuk memeluk Islam.
Di Malaysia, biarpun Islam diiktiraf
sebagai agama Persekutuan menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan,
penganut-penganut agama lain masih lagi bebas untuk menganut dan
mengamalkan agama mereka. Hal kebebasan beragama ini diperuntukkan dalam
"Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan".
Kebebasan agama diabadikan dalam
Perlembagaan Malaysia. Pertama, Fasal 11 menetapkan bahawa setiap orang
mempunyai hak untuk menyatakan dan menjalankan agamanya dan (tunduk pada
undang-undang yang berlaku menyekat penyebaran agama-agama lain untuk
umat Islam) untuk menyebarkannya.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan
Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri
Fatimah Abdullah berkata isu yang berkaitan agama dan bangsa perlu
ditangani secara lebih berhati-hati.
Maka itu kata beliau, jika dalam konteks
pendidikan agama untuk anak-anak beragama Islam, maka guru pendidikan
berkenaan seharusnya menumpukan untuk mendidik pelajar dalam bidang
Islam dan bukan luar daripada konteks itu.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan Dr
Maszlee Malik menasihatkan guru agama Islam dari Kelantan dan Terengganu
tidak pulang ke Semenanjung buat sementara, sebaliknya terus menabur
bakti di Sabah dan Sarawak kerana bekalan guru agama yang mendesak di
kedua-dua negeri. PAS mengalu-alukan usaha Kementerian Pendidikan
menampung kekurangan guru Pendidikan Islam di Sarawak.
PAS menyeru kerajaan Sarawak untuk terus
memberi perhatian kepada Islam di Sarawak kerana orang Islam di Sarawak
masih memerlukan lebih banyak pusat pendidikan Islam. Melatih dan
mengajar pelajaran Islam kepada pelatih dari Sarawak untuk mengisi
kekosongan supaya pendidikan Islam di Sarawak berjalan lancar dan tidak
ketinggalan dari negeri-negeri lain.
Selepas ramai guru Pendidikan Islam
terlatih dari Sarawak dapat mengisi kekosongan untuk mengajar mata
pelajaran Pendidikan Islam di Sarawak maka guru-guru dari Semenanjung
boleh kembali ke tempat asal mereka selepas guru-guru Pendudikan Islam
Sarawak dapat memenuhi keperluan yang ada.
PAS menyeru umat Islam di Sarawak untuk
bersatu dan menyokong perkara-perkara yang baik untuk masyarakat Islam,
ini tidak bermakna kita mahu berkonfrontasi dengan agama-agama lain.
Umat Islam yang mengamalkan ajaran Islam yang sebenar sudah pasti
menjadi warga yang lebih baik dalam menjaga keharmonian masyarakat
majmuk di Sarawak ini. Islam mengajar kita untuk berbaik-baik dengan
sesama insan tanpa mengira bangsa, warna dan agama. – HARAKAHDAILY
* Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan