Jawatankuasa Pusat (CC) MCA diberi mandat mengadakan perbincangan bersama pihak berkepentingan dalam Barisan Nasional (BN) untuk memulakan proses pembubaran BN seterusnya membentuk perikatan baharu.
Tindakan tersebut berikutan keputusan Perhimpunan Agung MCA Ke -65 yang berakhir petang Ahad mahu parti BN dibubarkan dan dibentuk sebuah gagasan baharu.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberitahu sidang media selepas perhimpunan tersebut di Wisma MCA, CC parti terbabit akan memulakan proses dengan mengemukakan cadangan berkaitan resolusi pembubaran berkenaan.
MCA berterima kasih di atas sokongan rakyat pelbagai kaum kepada parti dan menghargai semangat toleransi serta perkongsian kuasa yang wujud sejak penubuhan perikatan dan BN.
“BN kini mengalami kecondongan kuasa yang amat ketara, manakala setiap parti komponen pula memerlukan penghayatan dan penilaian semula serta proses transformasi parti masing-masing.
“Justeru itu, demi kebangkitan semula, BN perlu dibubarkan dalam suasana persefahaman dan persetujuan bersama supaya dapat memberi ruang yang bebas dalam usaha transformasi dan pembinaan semula.
“Apabila ada kesesuaian serta mempunyai persamaan visi dan prinsip, maka perikatan politik boleh dibentuk semula,” katanya.
Hadir sama Timbalannya , Datuk Dr Mah Hang Soong dan Setiausaha Agung, Datin Paduka Chew Mei Fun.
“Ia akan dibawa ke pengetahuan Majlis Tertinggi UMNO dan kita juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan rakan parti lain dalam BN.
Menurut Ka Siong, MCA, MIC dan UMNO mempunyai semangat musyawarah dan senario politik hanya berbalik kepada tiga parti asal perikatan BN terbabit.
Pada perhimpunan itu seramai 27 orang perwakilan diberi peluang menyertai perbahasan, 12 mereka adalah golongan muda, di mana masing-masing menghuraikan keburukan, kebaikan mahu pun rasional di sebalik keputusan yang dicapai.
“Apa yang saya ingin tekankan, ia bukan resolusi Wee Ka Siong, ini adalah keputusan yang dimahukan perwakilan dan kami tahu apa yang perlu dilakukan.
Perhimpunan Agung MCA kali ini dihadiri 1,637 perwakilan dari seluruh negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan