HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Disember 2018

Had tempoh dua penggal TYT Sabah akan dibatalkan

MalaysiaGazette
xJuhar-Mahiruddin-681x462
Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin

KUALA LUMPUR – Sidang khas Dewan Undangan Negeri Sabah yang dijadualkan esok bertujuan untuk membatalkan had tempoh dua penggal terhadap jawatan Yang Dipertua Negeri.

Pada ketika ini, Perlembahaan Sabah menetapkan jawatan itu hanya selama dua penggal sahaja dengan setiap penggal selama empat tahun.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Stephen Wong berkata, kerajaan negeri memohon membatalkan tempoh dua penggal itu.

“Perlembagaan negeri yang asal tidak menyebut tentang had tempoh bagi ketua negeri, tetapi ini kemudiannya dihadkan kepada dua penggal.

“Oleh kerana kita bercakap mengenai MA63 (Perjanjian Malaysia 1963), maka kita ingin kembali kepada Perlembagaan negeri yang asal,” katanya seperti yang dilaporkan Malaysiakini.

Usul itu akan membolehkan Yang di-Pertua Negeri semasa, Juhar Mahiruddin, yang tempohnya berakhir pada 2 Januari, 2019, untuk kekal dan dilantik buat penggal ketiga.

Kali pertama Juhar dilantik ke jawatan itu pada 2 Januari 2011 dan mengambil sumpah jawatan buat penggal kedua pada 1 Januari 2015. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: