KUALA LUMPUR:
Jawatankuasa penganjur Himpunan Aman Rakyat Bantah ICERD telah hadir
bagi memberi keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah
Dang Wangi, di sini petang tadi.
Keterangan mereka diwakili oleh
Aminuddin Yahya dan Mahmud Hishamuddin Abd Rashid dengan masing-masing
diiringi peguam, Ahmad Amzar Ahmad Azlan dan Mohamad Nadzim Ibrahim.
Menurut Aminuddin, pihaknya dipanggil
polis untuk diambil keterangan tersebut sebagai prosedur biasa berikutan
terdapat laporan berkaitan pelanggaran peraturan pada hari himpunan
tersebut.
Sebagaimana kenyataan dikeluarkan pihak
Polis Kuala Lumpur, penganjur dikatakan telah menyalahi Akta Himpunan
Aman berikutan terdapat kanak-kanak dalam acara berkenaan.
"Kita telah pun mengeluarkan satu
tatacara (SOP) kita, berkenaan dengan hal ini dan kita telah nyatakan
dalam SOP kita bahawa kita tidak galakkan atau benarkan mana-mana orang
yang nak hadir ini bawa anak-anak bawah umur seperti yang ada dalam
akta.
"Bukan itu sahaja kita juga telah
menghalang mana-mana pihak yang membuat kekacauan dan alhamdulillah
tidak ada kekacauan, jadi itu sendiri telah membuktikan bahawa kita
telah ambil tindakan yang sewajarnya," katanya kepada media selepas
dirakamkan keterangan selama sejam.
Menurutnya, mereka yang menyertai
himpunan dengan membawa kanak-kanak bersama berkemungkinan secara
kebetulan ingin membeli-belah dan langsung ikut serta himpunan tersebut.
"Bagi saya mereka ini kemungkinan mereka
pada hari tersebut nak membeli belah di SOGO dan sebagainya cuma
kebetulan bila mereka sampai di sini, mereka nampak himpunan begitu
ramai, jadi mereka ikut arus sahaja jadi bagi saya tidak wajar kerana
itu adalah di luar kemampuan kita untuk menghalang," katanya.
Turut mengiringi beliau ialah Presiden
Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Ustaz Masridzi Sat
dan Ketua Eksekutif Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia
(MAPPIM) Mohd Zai Mustafa.
Juga Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela
Ummah (UMMAH), Kamaruzaman Mohamad dan Pengarah Jabatan Undang-undang
dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia, Wan Rohimi Wan
Daud.
Dalam pada itu, Aminuddin turut
merakamkan setinggi penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang
telah bertungkus lumus menjayakan program himpunan mega di Dataran
Merdeka, Sabtu lalu itu.
Katanya, ia kejayaan bersama semua pihak
melibatkan penyertaan juga ratusan NGO lain, parti-parti politik, pihak
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
"Pertemuan atau himpunan ini telah
menyaksikan kehadiran lebih setengah juta rakyat Malaysia yang
mengatakan rasa tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan untuk
meratifikasikan ICERD.
"Kita juga mengambil kesempatan ini
merakamkan takziah kepada beberapa orang peserta yang datang yang
terlibat dalam kemalangan sama ada yang semasa datang dan semasa nak
balik.
"Perjumpaan kali ini telah mencapai
objektif kita untuk menyuarakan kepada kerajaan dengan kehadiran yang
begitu ramai dan yang paling penting sekali, pertemuan ini merupakan
satu sejarah dalam negara yang menyaksikan himpunan teramai yang pernah
disaksikan negara semenjak kita merdeka," tambahnya. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan