HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Disember 2018

Mufti P Pinang: Fatwa 'harus' ucapan Krismas bagi kekalkan keharmonian

MALAYSIAKINI

   

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor berkata fatwa berhubung hukum bagi orang Islam mengucapkan ucapan sambutan perayaan Krismas perlu diperkenalkan bagi mengekalkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

Jelas Wan Salim yang dihubungi Free Malaysia Today hari ini berkata, dengan mengambil kira latar belakang sesebuah negara dan keperluan melindungi kepentingan awam, fatwa berkenaan perlu menetapkan hukum 'harus'.

"Situasi di Malaysia memerlukan agar hubungan antara rakyat dipelihara bagi kesaksamaan dan hormat-menghormati sesama kita," katanya.

Tambah Wan Salim, meskipun Krismas berasal dari ajaran Kristian, perayaan itu pada hari ini merupakan perayaan yang bersifat universal.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Hadi yang memberi peringatan agar umat Islam tidak sewenang-wenangnya menulis status di Facebook bagi memberi ucapan sambutan perayaan itu.

Bagaimanapun, dalam kenyataan itu, Muhammad Khalil juga menyatakan bahawa, ucapan Krismas bagi jiran beragama Kristian dibolehkan sebagai tanda hormat.

“Namun, tidak boleh suka-suka untuk ucap kepada mereka melalui status yang ditulis secara umum contoh di laman sosial Facebook, ia seolah-olah menunjukkan keredaan kepada agama mereka.

“Ada ulama berkata, sebagai meraikan masyarakat majmuk, diizinkan kepada orang-orang tertentu sahaja, namun dalam ruang lingkup yang terhad yang tidak digambarkan melalui perbuatan dan pemakaian kita,” kata Muhammad Khalil.

Untuk rekod, para ulama berbeza pandangan dalam menyatakan hukum mengucapkan tahniah bagi Krismas kerana sebahagian ulama yang mengharamkannya melihat ucapan “tahniah” ini membawa konotasi seakan mengiktiraf dan mengakui agama lain.

Manakala, bagi ulama yang membenarkannya pula melihat ia cuma sebagai satu bentuk penghargaan dan tanda penghormatan atas dasar sesama manusia tanpa bertujuan mengiktiraf kebenaran agama lain.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 2016 menyatakan hukum "harus" dan "perlu meraikan garis panduan yang telah kami nyatakan" bagi perkara itu.

“Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Muslim sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Muslim serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut,” kata kenyataan di laman web Mufti Wilayah Persekutuan itu.


Tiada ulasan: