HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Disember 2018

Taktik takut-menakut dalam isu pilihan raya PBT



    ULASAN | Kerajaan perlu terus bertekad untuk mencari jalan penyelesaian dan memulihkan semula pilihan raya tempatan.

Ini kerana pilihan raya tempatan (ataupun pilihan raya perbandaran) akan memangkinkan lagi demokrasi di tanah air.

Sehingga sekarang, suara-suara yang membantah usul ini hanya membentangkan satu hujah, bahawa pilihan raya tempatan akan menimbulkan ketegangan kaum yang teramat.

Ini memperlihatkan taktik takut-menakut dan lebih membimbangkan, menunjukkan kesanggupan kerajaan akur kepada pemikiran sebegini.

Melayani rasa takut dalam kalangan pemimpin nasional menampakkan kelemahan bukan kekuatan.
Wajar diteliti tiga negara berikut: Bosnia-Herzegovina, Sri Lanka dan Rwanda.

Walaupun ketiga-tiga negara tersebut berhadapan dengan ketegangan kaum dalam sejarah mereka, tetapi masih meneruskan proses pilihan raya tempatan.

Bosnia sudah mengadakan enam pilihan raya tempatan seluruh negara sejak tamatnya perang saudara pada 1995, berikutan Perjanjian Keamanan Dayton.

Siri pertama diadakan dua tahun selepas tamat perang.

Pada pemilihan 2016, kepimpinan 142 pihak berkuasa tempatan ditentukan melalui undi, dengan hampir tiga ribu calon.

Manakala, di Sri Lanka, pada awal tahun ini 8,293 posisi diisi melalui pilihan raya tempatan untuk 341 pihak berkuasa tempatan (24 majlis perbandaran, 41 majlis bandar dan 271 majlis bahagian).

Malah, negara itu telah lama mengadakan pilihan raya tempatan dan kerajaannya tidak menggunakan perang saudara yang membara selama 1982 sehingga 2005 sebagai alasan untuk memberhentikan proses pemilihan undi ketiga.

Pada hujung tahun lepas, Rwanda menjayakan pilihan raya tempatan yang memilih 15,014 pejawat politik.

Walaupun Rwanda mengalami keganasan dan pembunuhan beramai-ramai akibat perbalahan kaum pada 1994, di mana sehingga 800,000 orang kehilangan nyawa, kerajaannya tidak setuju yang pilihan raya tempatan akan mencetuskan keganasan antara kaum.

Kesemua tiga negara ini melalui episod-episod pahit dalam sejarah mereka yang diakibatkan oleh pertarungan antara kaum.

Pupuk demokrasi

Namun, kerajaan mereka tidak menyalahkan ataupun percaya yang mengadakan pilihan raya tempatan akan meningkatkan ketegangan perkauman. Pemilihan tempatan dilihat sebagai usaha untuk memupuk demokrasi bukan menjejaskannya.

Malaysia perlu mengambil ikhtibar dari negara-negara ini, yang kenal sangat apa itu ketegangan kaum. Kerajaan kita harus menolak budaya mudah takut.

Ini bukan alasan yang secukupnya untuk mengelak perwakilan, perbincangan umum dan keputusan pada tahap akar umbi.

Agak terang yang Perdana Menteri Mahathir Mohamad bukan seorang yang gemarkan pilihan raya tempatan.

Mereka yang menyokong kerajaan terhad akan membidas undi ketiga (pilihan raya tempatan) dan juga undi kedua (pilihan raya negeri).

Mereka lebih gemarkan sistem persekutuan di mana semua negeri-negeri bergantung sepenuhnya kepada kerajaan persekutuan untuk belanjawan pentadbiran dan pembangunan, dan seterusnya untuk pihak berkuasa tempatan berada di bawah telunjuk jari kementerian persekutuan untuk perbelanjaan dan akur kepada kuasa kerajaan pusat.

Mereka sekadar inginkan kuasa hanya di tangan perdana menteri melalui Kabinet selepas keputusan pilihan raya parlimen.

Pemikiran sebegini mengurangkan kuasa politik demokrasi dalam politik Malaysia dan mengelakkan perkembangan kepelbagaian dalam pendapat dan pemikiran dalam suasana politik kebangsaan.
Ini adalah halatuju yang salah untuk negara kita.

Kesal dengan DAP

Kuasa juga kesal dengan hujah-hujah pemimpin parti DAP untuk menyakinkan rakyat umum untuk menyokong pilihan raya tempatan melalui memberi kepastian yang penduduk Melayu akan menguasai majoriti kerusi dari mana-mana pilihan raya tempatan.

Ini bukan tugas DAP untuk memastikan siapa akan menang. Dalam mana-mana pilihan raya tidak kira pada tahap mana, tidak ada kepastian.

Yang pasti, pemenang akan dipastikan oleh pengundi dan bukan oleh pemimpin-pemimpin parti politik berdasarkan kepentingan mereka.

Pilihan raya tempatan menentukan suara rakyat yang menentukan pentadbiran setiap pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.

Yang pasti, suara rakyat, suara keramat.


* PRABA GANESAN ialah Ketua Eksekutif NGO Kuasa.


Tiada ulasan: