HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Disember 2018

PEGUAM PPBM NAFI TUDUHAN UPAH GENGSTER KE KUIL




Peguam PPBM, Hanif Khatri menafikan tuduhan mengaitkan dirinya sebagai peguam yang mengupah 50 orang daripada kumpulan samseng yang menjadi punca kepada rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya tempoh hari.

Menurut beliau, tuduhan yang mengaitkan dirinya dan Muhammaf Rafique Rashid itu jelas berniat jahat apabila disebarkan bersama-sama foto dengan kenyataan tidak benar mengenai mereka berdua.

Hanif berkata beliau dilantik oleh pemilik tapak kuil, One City Development Sdn Bhd selepas kejadian tersebut berlaku bagi mewakili pegawai dan pekerja syarikat yang dipanggil polis untuk membantu siasatan.

“Kami mengutuk keras tohmahan jahat dan fitnah palsu yang diedarkan mana-mana pihak yang salah ini, dan memberi amaran tegas bahawa kami akan mengambil langkah undang-undang terhadap kesemua individu yang terlibat dalam pengedaran tohmahan jahat dan fitnah palsu itu,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Haniff turut berkata mana-mana pihak tidak sepatutnya mengeluarkan spekulasi atau kenyataan yang tidak tepat dan boleh menganggu kelangsungan siasatan pihak polis.

Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkan mana-mana pihak yang bertanggungjawab menjelaskan situasi sebenar tidak boleh menjelaskan butir-butir siasatan secara terperinci kerana jelas bercanggah dengan peruntukan perundangan.

“Kami merupakan bukti hidup yang menzahirkan bagaimana pendedahan fakta siasatan yang salah, tidak tepat ataupun mendahului siasatan yang belum dimuktamadkan oleh pihak menteri ataupun pihak berkuasa boleh menjejaskan dan menggugat keselamatan pihak yang tidak terlibat selain boleh menjejaskan hasil siasatan dan perjalanan adil bicara jenayah itu sekiranya wujud.

“Justeru, saya sekali lagi menyeru kepada kesemua pihak terbabit iaitu pihak menteri dan pihak berkuasa dan keseluruhan lapisan masyarakat di negara ini untuk sentiasa mendukung prinsip kedaulatan undang-undang agar negara kita dapat mengorak langkah padu ke arah kejayaan dan kesejahteraan hakiki di dalam negeri dan juga di mata antarabangsa,” ujar beliau.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun telah mengadakan satu sidang media bagi memberi maklumat terkini berhubung siasatan polis berkaitan rusuhan yang tercetus di kuil Sri Maha Mariamman.

Muhyiddin dalam sidang media menjelaskan rusuhan tersebut berpunca daripada tindakan peguam kepada syarikat One City yang mengupah kumpulan samseng untuk menimbulkan kekacauan.

Tiada ulasan: