Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan kegagalan polis menahan Menteri P Waytha Moorthy dan EXCO DAP, V Ganabatirau walaupun beratus laporan polis sudah dibuat kerana memainkan sentimen agama.
Wajdi berkata, polis sebaliknya begitu cepat menahan Papa Gomo atas kesalahan sama, sekaligus menimbulkan persoalan mengenai sikap berat sebelah pihak berkuasa.
“Sesiapa sahaja yang disyaki memainkan sentimen perkauman dan bertindak membelakangi perundangan serta Perlembagaan wajar disiasat secara adil.
“Kita mempersoalkan tindakan undang-undang terhadap pengendali blog Papa Gomo, yang ditahan semalam selepas menerima 17 laporan polis ke atasnya.
“Bila pula nak tahan P Waytha Moorthy yang menerima lebih 150 laporan polis?
“EXCO DAP, V Ganabatirau yang mengapikan perkauman isu kuil dan turut menerima laporan polis, bila nak ditahan?,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya melaksanakan prinsip ‘rule of law’ yang menjadi model Malaysia Baharu, seperti dilaungkan parti itu sebelum ini.
“Siapa sahaja yang disyaki memainkan sentimen perkauman dan melakukan perkara-perkara yang membelakangi prinsip perundangan dan Perlembagaan, wajar disiasat secara adil dan saksama tanpa mengira kedudukan dan latar belakang mereka,” katanya.
Sebelum ini Ketua Polis Negara, mengesahkan penahanan pengendali laman blog Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris berikutan kenyataannya yang didakwa berbaur hasutan.
Sebelum ini akaun Facebook yang menggunakan nama Sir Azri dipercayai milik Wan Muhammad Azri, menyiarkan video langsung bertajuk ‘Ini Tanah Melayu’.
Video berkenaan sudah ditonton 327,000 pelayar dan dikongsi sebanyak 9,900 kali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan