PAS melahirkan kebimbangan terhadap usaha pihak tertentu untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akan diluluskan di Parlimen.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata kemungkinan itu timbul walaupun kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan agenda berkenaan.
Beliau berkata, ini dapat dilihat apabila barisan Kabinet tidak senada dengan pandangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan meratifikasi ICERD sebagai mustahil untuk dilakukan kerana memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
“Apa yang membimbangkan adalah jumlah Ahli Parlimen bukan Islam yang menguasai kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan keseluruhan 66 kerusi berbanding 58 kerusi disandang wakil rakyat Islam.
“Kita saksikan bagaimana keadaan sangat mencemaskan apabila kenyataan Jemaah Menteri bercanggah contohnya, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya ICERD ditangguhkan dan dikaji dahulu.
“Kalau diundi akan berlaku satu perubahan yang sangat membahayakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam Ijtimak Kepemimpinan PAS Terengganu di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), di Chukai, Sabtu.
Hadir sama, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Hussin Awang.
Abdul Hadi pada majlis itu sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa Himpunan Bantah ICERD pada 8 Disember ini bukan bertujuan menimbulkan huru hara, sebaliknya hanya untuk memprotes secara aman mengikut proses demokrasi.
“Demokrasi mengizinkan rakyat melakukan demonstrasi secara aman, justeru umat Islam perlu bersatu tanpa sesekali menafikan kedudukan orang bukan Islam,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan