Lebih 1,000 pemimpin dan ahli PPBM Pendang mendesak ketua bahagiannya, Abdul Razak Khamis melepaskan jawatan kerana didakwa gagal memimpin parti itu sejak dua tahun lalu.
Timbalan Ketua Armada PPBM, Pendang, Mohd Fitri Hassan, mendakwa majoriti 44 cawangan PPBM di Pendang melahirkan rasa kecewa terhadap kepemimpinan parti di peringkat bahagian sedia ada khususnya dalam pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), baru-baru ini.
Selain itu, beliau berkata pihaknya turut mempertikaikan tindakan Abdul Razak yang menafikan hak kepemimpinan Armada untuk bersama dalam mesyuarat bahagian dan persidangan bahagian PPBM selain menidakkan hak orang awam untuk menjadi ahli parti apabila borang keahlian yang diisi tidak didaftarkan.
“Sekurang-kurangnya 42 cawangan daripada keseluruhan 44 menolak kepemimpinan Abdul Razak berikutan banyak tindakan tidak wajar dilakukannya, sekali gus mengundang pelbagai masalah serta menyebabkan perpecahan dalam parti.
“Ia termasuklah tiada notis awal dikeluarkan untuk pemberitahuan berhubung mesyuarat persidangan tahunan bahagian dan beliau juga memecat AJK (Ahli Jawatankuasa) Bahagian tanpa sebarang notis jika mereka menegur dan tidak sehaluan dengan tindakannya.
“Kami menyifatkan Abdul Khamis ini tidak layak untuk menjadi pemimpin kerana beliau masih mengamalkan sikap daripada parti lama iaitu menjilat, mengampu dan mengipas, ” katanya pada sidang media, di Pendang, Sabtu.
Pada masa sama, Mohd Fitri berkata, pihaknya turut mengharapkan campur tangan daripada kepemimpinan PPBM negeri untuk menyelesaikan perkara ini sebelum berlangsungnya pemilihan tahun depan demi memastikan kelangsungan parti di peringkat bahagian.
“Kita meminta supaya Pengerusi PPBM negeri, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memandang serius perkara yang dikemukakan kerana kami tidak mahu parti yang kita bina bersama ini hancur hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
“Jika keadaan semakin teruk dan Abdul Razak tidak mahu mengosongkan jawatan, kami memohon supaya kepemimpinan tertinggi bubarkan sahaja PPBM Pendang, ” katanya.
Sementara itu, Ketua Srikandi Pendang, Norizan Bidin, pula berkata pihaknya kesal apabila parti tidak mendaftarkan ahli secara rasmi sedangkan banyak permohonan yang diterima daripada orang ramai sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
“Bayangkan di Sungai Tiang sahaja, kita ada 600 permohonan dengan bayaran pendaftaran sebanyak RM4 setiap orang namun apabila borang itu dihantar ke pejabat PPBM Bahagian Pendang hanya 12 orang yang didaftarkan.
“Kami hairan di mana duit pendaftaran itu diletakkan sedangkan tiada keahlian didaftarkan… ia amat merugikan PPBM Pendang kerana ramai yang nak masuk tetapi dinafikan hak mereka, ” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan