Jangan rujuk sejarah bersumberkan perspektif kaum Cina semata-mata
BANGI –
Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) menggesa Kementerian
Pendidikan mendapatkan nasihat daripada pakar sejarah terlebih dahulu,
sebelum mengambil tindakan mengubah kandungan buku teks sekolah rendah
subjek berkenaan.
Presidennya, Ustaz Azizee Hassan berkata,
pihaknya tidak mahu langkah merombak subjek Sejarah menjadi usaha untuk
menghapuskan identiti Melayu sebagai kaum Pribumi asal, serta
menidakkan perjuangan bangsa Melayu sebagai tonggak tamadun di Malaysia.
Beliau berkata, jika Kementerian
Pendidikan berhasrat untuk mengubahnya, maka perlu dipastikan bahawa
penulisan sejarah adalah daripada sumber ‘primer’ dan ‘sekunder’
muktabar sahaja dengan berlandaskan kajian pakar-pakar yang diiktiraf.
Beliau menegaskan, tindakan itu adalah untuk memastikan supaya sejarah yang ditulis adalah tepat dan benar.
“Isi kandungan sejarah mengenai
kesultanan Melayu, sistem beraja, pengaruh agama mestilah daripada
sumber yang sahih dan bukan dari perspektif kaum Cina semata-mata.
“Ia dibimbangi terdapat usaha halus bagi
mengubah fakta sejarah terutama sejarah perjuangan bangsa Melayu dan
sejarah kedatangan Islam ke tanah air,” katanya ketika dihubungi
Ismaweb.net.
Terdahulu, akhbar berbahasa Cina, Sinchew
Daily melaporkan, buku teks Sejarah sekolah rendah akan dinilai semula
dan diubah kerana ia didakwa meliputi terlalu banyak unsur subjek lain.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie
Ching berkata, Bahagian Buku Teks telah mengadakan lapan bengkel sejak
2014 berhubung cadangan pertubuhan-pertubuhan Cina untuk menambah baik
buku teks sekolah rendah.
Katanya, 10 pertubuhan Cina itu
mencadangkan agar silibus Sejarah dimasukkan dengan kandungan mengenai
pengaruh budaya India dalam kerajaan-kerajaan Melayu dalam topik
kerajaan Melayu awal pda buku teks tahun empat.
Manakala untuk buku teks tahun lima pula,
tema sistem beraja dicadangkan ditukar kepada sistem beraja dan raja
berperlembagaan; tema Islam ditukar kepada Islam serta agama dan
kepercayaan utama yang lain; tema bahasa Melayu ditukar bahasa Melayu
dan bahasa-bahasa ibunda kaum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan