HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Disember 2018

‘Gelarlah Bersatu, tetapi sebenarnya UMNO 2.0 atau 3.0’

tyrazalhe


Khaled yakin virus dalam UMNO akan jadi darah daging Bersatu



BANGI – Ahli-ahli politik yang meninggalkan UMNO untuk menjadi bebas atau menyertai wadah politik lain tidak layak dianggap sebagai pejuang, sebaliknya mereka adalah golongan yang tewas dalam perjuangan, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, mereka yang benar dalam perjuangan apabila mengambil tanggungjawab dan bertahan teguh dengan prinsip serta pendirian, walaupun berdepan kesukaran.

Mohamed Khaled berkata, tindakan lari daripada parti jelas menunjukkan sisi sebenar mereka, dan ia tidak sedikit pun merugikan UMNO.

“Mana mungkin kepercayaan yang didukung selama 6 dekad, berubah dan menjadi tohor dalam enam bulan selepas tewas? Tiada sekelumit nilai perjuangan yang boleh kita teladani daripada mereka.

“Jangan ditahan-tahan mereka yang mahu pergi dan tidak sanggup untuk terus susah dan senang bersama. Jangan dirayu jangan ditagih. Nescaya akan ada kehidupan lain selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar daripada parti itu, termasuk Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

12 Disember lalu, UMNO sekali lagi berdepan tamparan hebat apabila keseluruhan jawatankuasa perhubungan Sabah, termasuk pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dan 21 ketua bahagian keluar daripada parti itu.

Dua daripada Ahli Parlimen UMNO juga telah mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), iaitu Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamad dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled menyifatkan kedudukan parti yang menerima masuk kebanyakan pelarian UMNO – dipercayai merujuk Bersatu – sebagai rapuh.

Beliau bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Bersatu kerana menerima bekas UMNO yang dianggapnya sebagai hadiah ikhlas.

“Percayalah, pemergian ahli UMNO dan kemasukan mereka ke dalam Bersatu tidak akan membuatkan kami hilang tidur. Sebaliknya, mereka pasti akan membuatkan kalian berjaga malam.

“Kerana mereka adalah virus yang selama ini menyakiti dan merosakkan UMNO. Dan virus, biar di mana pun mereka berada, pasti akan membawa sakit dan rebah. Saya tidak mahu mendoakan. Tetapi, saya yakin, virus-virus penyakit yang selama ini telah membarah dalam UMNO, pasti akan menjadi sebahagian daripada darah daging Bersatu pula,” katanya.

Pada masa sama, Khaled membayangkan setahun daripada sekarang, virus-virus penyakit itu akan merebak ke seluruh batang tubuh politik Bersatu.

Ini kerana katanya, mereka amat manipulatif dan berpengalaman, termasuk mengambil kesempatan ke atas struktur politik yang barangkali, Tun Mahathir sendiri telah bina.

“Saya yakin, dalam sedikit masa lagi, mereka akan menjadikan Bersatu itu seperti UMNO juga. Gelarlah ia Bersatu, tetapi sebenarnya, ia adalah UMNO 2.0 atau 3.0. Nama bukan sesuatu yang penting.

“Sedikit demi sedikit, Bersatu akan diambil alih. Sedikit demi sedikit, ‘Bersatu’ akan ‘Berpecah’. Bersatu akan menyaksikan kem-kem baharu – kem ahli sejati dan pejuang asal Bersatu dan kem ‘pendatang’ dan ahli bawaan alumni UMNO,” katanya.



Tiada ulasan: