Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Salahuddin Che Rose, 49,
menafikan yang dia ‘hilang’ selepas berita tentangnya yang terpaksa
hidup sebagai gelandangan sementara menunggu pembedahan jantung
dilaporkan media baru-baru ini.
“Selain Institut Jantung Negara (IJN), saya juga sering ke beberapa negeri termasuk Melaka untuk mendapatkan rawatan jantung secara tradisional di pusat perubatan Cina di Taman Cheng, bukan sengaja menghilangkan diri.
“Tiga hari saya berada di negeri itu, saya tidak pernah melarikan diri daripada sesiapa malah berita berkaitan kehidupan sementara saya di kaki lima itu tersebar ketika saya di sana,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.
Pada 2 Disember lalu, bekas pemain posisi pertahanan itu mencuri perhatian apabila berita tentangnya terpaksa tidur di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur sementara menunggu pembedahan memasukkan perentak jantung tahun ini dilaporkan oleh media.
Terpaksa berhenti kerja sebagai buruh
Salahuddin disahkan menghidap penyakit jantung pada 2009 tetapi penyakitnya bertambah teruk sejak tiga tahun lalu sehingga memaksanya berhenti kerja setelah setahun bekerja sebagai buruh.
Beliau kembali ditemui di kaki lima itu lewat malam tadi oleh wartawan Utusan Malaysia.
“Sejak laporan itu diterbitkan Ahad lalu, saya akui keluarga, rakan-rakan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak putus-putus cuba menghubungi saya untuk menghulurkan bantuan,” ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan