HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Disember 2018

TH: TUBUH RCI RUNGKAI KEBENARAN – TOK MAT


UMNO mencadangkan supaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi merungkai kebenaran berhubung kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH).

Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, laporan yang dibentangkan di Parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pada Isnin mengundang kerisauan yang mendalam dan perlu dipandang serius semua pihak.

“Saya yakin orang Melayu dan Islam di negara ini mendambakan kebenaran daripada pendedahan ini dan seterusnya menuntut pertanggungjawaban daripada mereka yang terlibat.

“Sebarang usaha untuk memperkuat institusi ini dan menghapuskan ketirisan, pecah amanah serta salah tadbir urusnya mesti disokong semua pihak.

“Masyarakat awam berhak mengetahui kedudukan sebenar institusi terpenting ini dan kebenaran hanya terbit dari siasatan yang telus, tidak berpihak dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Mujahid dalam sidang medianya mendakwa TH telah melanggar syarat hibahnya selama dua tahun berturut-turut kerana badan itu didakwa mengalami defisit sebanyak RM4.1 bilion.

Mujahid berkata TH akan diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) bermula Januari tahun depan bagi menambah baik tadbir urus organisasi berkenaan.

Sementara itu, Mohamad berkata siasatan secara mendalam, terperinci dan benar mesti dilakukan dengan segera dan tegas.


Tiada ulasan: