PETALING JAYA: One City Development Sdn Bhd menegaskan ia tiada kaitan dengan pergaduhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pagi tadi.
One City dalam kenyataan berkata ia terkejut dengan laporan memetik Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang membayangkan ia terlibat.
Media memetik Noor Rashid sebagai berkata: “Mungkin pihak yang nak ambil alih mengupah sekumpulan lelaki Melayu untuk memudahkan mereka ambil alih kawasan tersebut. Ada kemungkinan mereka ini kumpulan samseng, dan pastilah kumpulan berbangsa India cuba mempertahankan (pencerobohan).”
Menurut laporan Bernama, Noor Rashid berkata begitu ketika mengulas isu tersebut selepas satu acara di Kelantan.
“One City meminta penjelasan lanjut tentang kenyataan ini, memandangkan kita sentiasa mematuhi undang-undang dan proses yang wajar,” katanya merujuk kepada penempatan semula kuil tersebut.
Ia berkata komitmen mereka terbukti dalam 2 kes mahkamah yang dilaluinya serta perbincangan bersama pihak-pihak berkepentingan.
Ia berkata tawaran tanah sebagai tapak baharu untuk kuil, pampasan RM1.5 juta, dan penangguhan penempatan semula kuil bagi memberi laluan kepada upacara-upacara yang perlu diadakan membuktikan lagi komitmennya kepada penyelesaian secara aman.
“Selain itu, menurut penghakiman persetujuan 2014, kami tiada sebab untuk terlibat dalam hal itu kerana pihak berkuasa sudah terikat dengan perintah mahkamah untuk membantu dalam proses itu, dengan matlamat utama memastikan penempatan semula secara aman.
“Kami membenci keganasan yang berlaku pagi tadi dan tidak pernah berfikir untuk terlibat dalam tindakan sedemikian.”
One City menambah ia berharap pihak berkuasa akan menunjukkan bukti ia terlibat dalam kejadian itu dan ia sedia membantu siasatan pihak berkuasa.
“Malah, pengurusan kanan One City telah berkomunikasi dengan polis dan satu temu janji telah ditetapkan untuk membantu siasatan.”
Awal hari ini, polis mengatakan pergaduhan awal pagi antara para penganut kuil Hindu di USJ25 dan kumpulan kedua adalah salah faham yang timbul daripada isu penempatan semula kuil itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan