Bomba Kedah terima 23 panggilan mengenai kejadian pokok tumbang

KUALA LUMPUR– Hujan lebat, angin kencang serta ribut melanda beberapa kawasan
utara Semenanjung iaitu di negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, malam ini,
mengakibatkan banyak kerosakan terhadap harta benda, dan juga kejadian pokok
tumbang dilaporkan di merata tempat.
Menurut
Jabatan Meteorologi Malaysia, amaran ribut menyeluruh yang dikeluarkan pada
10.10 malam tadi meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka
di kawasan perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak sehingga pukul 2.00
pagi ini (Sabtu, 10 Ogos 2019).
Keadaan
ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan
ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot
kecil.
Di
PULAU PINANG, angin yang bertiup kencang bermula kira-kira pukul 10.00 malam
diikuti hujan lebat di seluruh negeri menyebabkan kes-kes pokok tumbang
merentangi jalan raya dilaporkan di beberapa lokasi di George Town, Seberang
Perai dan juga Balik Pulau, sehingga ada yang menghempap kenderaan dan ada juga
yang menghalang lalu lintas.
Pengerusi
Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang,
Phee Boon Poh berkata, setakat ini lima orang dilaporkan cedera dan dihantar ke
hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.
“Kesemua
mereka adalah penduduk di kawasan Bagan, berikutan bumbung rumah serta gerai
tempat mereka berniaga diterbangkan ribut dan terkena mereka. Mereka mengalami
kecederaan luka di beberapa bahagian badan dan kepala,” katanya di sini malam
ini.
Sementara
itu seorang jurucakap Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang
ketika dihubungi Bernama berkata setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan
dalam kejadian ribut berkenaan.
Jabatan
itu turut menerima laporan kejadian pokok tumbang sekitar jalan Paya Keladi,
Kepala Batas, Lahar Yooi, Pokok Sena, Tasek Gelugor, Penaga, Bertam dan Kepala
Batas di bahagian Seberang Perai manakala di bahagian pulau pula melibatkan
Persiaran Gurney, Tanjung Bungah, Jalan Baharu Balik Pulau, Batu Feringghi dan
Bayan Lepas.
Di
PERLIS, hujan lebat disertai angin kencang melanda hampir sejam sehingga
mengakibatkan banyak bangunan, kediaman, premis perniagaan serta khemah peniaga
rosak.
Turut
dilaporkan beberapa kejadian pokok tumbang serta kabel elektrik melintang di
tengah jalan raya di samping berlaku beberapa kemalangan kecil.
Tinjauan
Bernama mendapati gerai dan khemah di Dataran 350 di Kangar yang didirikan
untuk peniaga sempena Hari Raya Haji musnah dipukul angin kencang.
Di
KEDAH, laporan awal Angkatan Pertahanan Awam Kedah menyatakan bahawa lapan
daerah di Kedah yang terdiri daripada Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang, Yan,
Padang Terap, Kulim, Sik dan Langkawi, dibadai ribut.
Penolong
Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat
Malaysia Negeri Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata setakat ini 23
panggilan mengenai kejadian pokok tumbang diterima pihaknya.
Berdasarkan
laporan awal, beliau berkata Langkawi dan Alor Setar adalah kawasan yang
terjejas teruk akibat kejadian itu, namun pihaknya belum menerima maklumat
lengkap mengenainya.
Di
Langkawi, laporan awal Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Langkawi menyatakan
ribut membadai di enam mukim di pulau peranginan itu iaitu Kedawang, Bohor,
Padang Maksirat, Ayer Hangat, Kuah dan Hulu Melaka.
Kejadian
itu menyebabkan beberapa buah rumah dan kenderaan ditimpa pokok, selain
beberapa jalan utama terhalang oleh pokok tumbang.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan