SEDANG kita sibuk dengan pandemik Covid-19 yang melanda dunia, bahang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) juga kian terasa. Sudah bersediakah kita untuk mengundi dan bagaimanakah pula dengan barisan ahli politik sekarang? Mampukah mereka menggalas tanggungjawab yang berat?
Bercakap tentang PRU-15, tidak dinafikan generasi belia merupakan penggerak utama dalam menentukan pemerintah yang seterusnya.
Menurut seorang pelajar universiti awam, Tengku Nur Tihani Tengku Azman, 24, memang orang muda mahu perubahan namun ia pasti sukar jika ‘otai politik’ wujud.
“Orang muda berpendapat ‘otai politik’ ini adalah kumpulan pemimpin yang masih ada sifat tamakkan kuasa dan jawatan.
“Apabila ada perjuangan pembangunan serta hak asasi untuk orang muda, golongan tersebut pasti akan bertindak ‘liar’,” katanya ketika dihubungi SUARA MERDEKA, hari ini.
Tengku Nur Tihani berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan warga maya yang semakin sukar untuk menentukan jejak pemimpin yang harus diikuti.
Sementara itu, seorang pelajar jurusan komunikasi korporat, Ammar Faheem Mohd Hashim Hasni, 24, berkata, dia menjadi gelisah dan tidak tenang apabila memikirkan tentang PRU-15
“Melihat sejarah politik negara baru-baru ini, tidak ada sesuatu yang manis pun untuk dikenang atau dicontohi.
“Dengan kemerosotan ekonomi serta pertambahan kes Covid-19, rakyat ibarat sudah jatuh ditimpa tangga,” katanya.
Ammar cuma berharap jika PRU-15 diadakan dalam masa terdekat, keputusan itu tidak akan mengakibatkan rakyat ditimpa kesusahan.
Mengulas isu sama, seorang pelajar, Nur Naseha Rusli, 23, mengakui belum berkesempatan untuk mengundi tetapi sudah mendaftarkan diri.
“Saya teruja dengan tanggungjawab yang diberikan namun agak risau kerana memilih pemerintah ini bukan perkara main-main.
“Kalau tersalah pilih, seluruh negara akan merana dan bagi saya, ahli politik muda seperti Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman boleh diibaratkan seperti batu loncatan buat para belia untuk menceburi bidang politik kerana beliau banyak memperjuangkan hak-hak generasi muda yang tidak ramai faham,” katanya. – SUARA MERDEKA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan