HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Disember 2020

Suara rakyat perlu diambil kira untuk tukar ketua pembangkang - Mukhriz

Adie Sufian Zulkefli
Suara rakyat perlu diambil kira untuk tukar ketua pembangkang - Mukhriz
Mukhriz menyampaikan sumbangan kupon bantuan kelengkapan 
persekolahan kepada 64 penerima bagi Parlimen Jerlun, 
di Kampung Pida 5, pada Sabtu.
 
JERLUN: Pemilihan siapakah menjadi ketua dalam Pakatan Harapan (PH) perlu dinilai menerusi suara rakyat.
 
Menurut Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, suara semua pihak perlu diambil kira untuk menukar ketua pembangkang.
 
Jelas Mukhriz, Pakatan Harapan seharusnya mengambil iktibar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 di mana kepimpinan Barisan Nasional (BN) masih mempertahankan Datuk Seri Najib Razak, yang akhirnya menyebabkan BN ditolak oleh rakyat.
 
Katanya, kepimpinan tertinggi dalam PH perlu memahami isi hati rakyat yang mahukan perubahan siapakah yang layak untuk meneraju kepimpinan parti dan negara.
 
"Apapun, kita perlu mendapat mandat kepada rakyat, kalau rakyat tak menyokong tak ada gunanya kita berpolitik.
 
"Kalau rakyat rasakan bahawa perlu ada perubahan dan perlu ada muka baharu yang boleh menewaskan Perikatan Nasional contohnya, jadi kita kena dengarlah.
 
"Kalau tak, kita terimalah padahnya dalam pilihan raya umum nanti," katanya.
 
Mukhriz berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kupon bantuan kelengkapan persekolahan kepada 64 penerima bagi Parlimen Jerlun, di Kampung Pida 5, pada Sabtu.
 
Bagaimanapun jelas Ahli Parlimen Jerlun ini, Pejuang tiada dalam kelompok PH tetapi akan menjadi pemerhati bagi mempersiapkan gabungan parti dalam menghadapi PRU-15.
 
Kemelut pertukaran ketua pembangkang timbul selepas Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Wira Marzuki Yahya dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal menyarankan supaya parti pembangkang membentuk satu gabungan besar (grand coalition).
 
Menurut mereka, kerjasama itu penting untuk menghadapi PRU15 yang mungkin diadakan pada bila-bila masa.
 
Justeru, Mohd Shafie dilihat calon yang berkelayakan untuk memimpin gabungan besar baharu pembangkang bagi menggantikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
BACA: "Grand Coalition" secara dasar dipersetujui PKR dan DAP - Khalid Samad
 
Bekas Ketua Menteri Sabah itu dikhabarkan memiliki kriteria untuk memimpin gabungan terbabit jika semua parti pembangkang berhasrat mengadakan kerjasama baharu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Tiada ulasan: