HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Disember 2020

Azhar Harun kekal speaker, mahkamah tolak saman Dr M

Malaysiakini

Azhar Azizan Harun kekal sebagai speaker Dewan Rakyat.

Ini susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ahmad Kamal Md Shahid hari ini yang membenarkan permohonan Azhar untuk membantah cabaran undang-undang oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad terhadap pelantikan itu.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Azalina Othman Said untuk membantah cabaran undang-undang Dr Mahathir terhadap pelantikannya sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.

Antara lain, hakim memutuskan hanya parlimen yang mempunyai kuasa tunggal untuk memutuskan isu pelantikan tersebut.

Selain Azhar dan Azalina, defendan lain yang membantah adalah Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon dan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin.

Antara lain, tuntutan itu bertujuan mendapatkan kesahihan pelantikan Azhar dan Azalina sebagai speaker dan timbalan speaker, tetapi tidak ditujukan kepada jawatan Rashid sebagai sebagai timbalan speaker.

Pada 23 Julai, lima plaintif - Ahli Parlimen Langkawi Mahathir, Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah, dan Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh - memfailkan saman pemula.

Kelima-lima plaintif menuntut pengisytiharan mahkamah bahawa pelantikan Azhar dan Azalina tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Dewan Rakyat.

Mereka juga meminta pengisytiharan mahkamah bahawa berikutan kekosongan jawatan speaker yang sebelumnya disandang oleh Mohamad Ariff Md Yusof, semua anggota parlimen mesti diberi peluang untuk menamakan calon bagi jawatan tersebut.

Kelima-lima plaintif juga mahukan pengisytiharan bahawa jawatan speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat masih kosong sejak 13 Julai.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Hakim Ahmad Kamal berkata setelah meneliti hujahan lisan dan bertulis daripada kedua-dua plaintif dan defendan, beliau mendapati bahawa pelantikan Azhar dan Azalina adalah sah dan tidak boleh diadili atau dihakimi oleh mahkamah.

“Permohonan defendan pertama (Azhar), kedua (Azalina), ketiga (Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid Hasnon) dan keempat (Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin) untuk membatalkan saman pemula dibenarkan.

"Berikutan keputusan itu mahkamah tidak menetapkan sebarang kos selepas berpuas hati isu yang dibangkitkan itu adalah melibatkan kepentingan awam," katanya.

Ahmad Kamal dalam penghakimannya berkata pada pandangannya permohonan saman dan bukti afidavit menunjukkan bahawa Mohamad Ariff Md Yusof telah digugurkan daripada jawatannya sebagai speaker dengan keputusan dan usul yang dibuat oleh Dewan Rakyat.

"Pada peringkat lain persidangan Dewan Rakyat pada hari itu Azhar dan Azalina terpilih menjadi speaker dan timbalan speaker melalui usul yang dibawa dan disahkan oleh Dewan Rakyat," katanya.

Hakim itu berkata bahawa artikel 57 Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan bahawa Parlimen yang menentukan penyingkiran dan pemilihan speaker dan timbalannya.

"Saya berpandangan bahawa segala isu atau permasalahan yang berkaitan dengan pemecatan dan pelantikan speaker dan timbalan speaker harus diteliti, dibahas dan diselesaikan di Parlimen. Parlimen mempunyai bidang kuasa eksklusif berhubung perkara itu dan ia mempunyai hak mutlak untuk mengawal prosiding sendiri.

“Sesungguhnya keputusan Parlimen pada 13 Julai 2020 untuk menggugurkan Tan Sri Ariff sebagai speaker dan melantik Azhar dan Azalina sebagai speaker dan timbalan speaker baharu adalah muktamad," katanya.

Tiada ulasan: