HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Disember 2020

Pembangkang perlu gandingan baharu hadapi PRU-15 - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) memerlukan gandingan baharu yang lebih 'segar' bagi memimpin gabungan pembangkang memenangi semula Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata PH perlu mengambil pendekatan drastik supaya tidak lagi dibayangi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'umpan' menarik undi rakyat.

Selain itu, beliau berkata parti komponen PH tidak seharusnya menunggu 'pisang berbuah sekali lagi' dengan bergantung 'magis' Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi faktor pencetus kemenangan PRU lalu, untuk menang PRU akan datang.

"PH perlu keluar daripada bayang-bayang Anwar dan Dr Mahathir. Ternyata kerjasama mereka berdua tidak boleh kekal kerana masih ada faktor persaingan kuasa antara mereka dan rakyat jadi mangsa.

"PH hanya perlu seorang pemimpin sahaja yang boleh jadi faktor penentu. Sepatutnya menjelang PRU-15, mereka sudah boleh fikir gandingan dan muka baharu.

"AMANAH dilihat masih berharap kuasa magis Anwar mahupun Dr Mahathir kerana mereka juga bergantung kepada kekuatan Anwar dan Dr Mahathir," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Izani yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) mempersoalkan ketiadaan individu lain yang boleh diangkat sebagai gandingan baharu bagi menggantikan Dr Mahathir dan Anwar.

"Jika PH gagal kemukakan calon baharu, bermaksud itu kelemahan mereka untuk kekalkan.

"Selain gandingan baharu, apakah PH ada faktor lain untuk diketengahkan? Misalnya, sewaktu PH menang PRU-14... kemenangan mereka atas faktor Dr Mahathir dan isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad).

"Agak sukar sebenarnya jika tukar gandingan selain Dr Mahathir atau Anwar, melainkan ada faktor pemimpin atau isu yang kuat. Persoalan sekarang, PRU nanti PH ada atau tidak formula itu," katanya.

Sementara itu, pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis, berkata sentimen gandingan Dr Mahathir dan Anwar sewaktu PRU-14 berbeza dengan landskap politik sekarang yang memungkinkan sokongan rakyat terhadap PH tidak 'sekuat' dahulu.

Beliau berkata formula gabungan semula gandingan dua pemimpin lama itu tidak akan membantu menarik sokongan rakyat selepas apa yang berlaku dalam PH apabila di pihak PKR sendiri banyak mendesak Anwar supaya tidak lagi melihat Dr Mahathir sebagai rakan dalam gabungan pembangkang.

"Gabungan Dr Mahathir dan Anwar pada 2018 dilihat 'mengena' disebabkan faktor rakyat meluat dan marah dengan kepemimpinan Barisan Nasional (BN), namun selepas dua tahun memerintah, prestasi PH jatuh teruk antaranya disebabkan faktor krisis kepemimpinan PH melalui peralihan kuasa antara dua tokoh itu.

"Dr Mahathir selepas berpisah dari PH juga banyak kali dilihat menjauhkan diri daripada Anwar dan PH walaupun masih bersama sebagai pembangkang.

"Kedua-dua tokoh ini tidak pernah membabitkan sesama sendiri dalam setiap langkah politik," katanya.

Semalam Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mahu Dr Mahathir dan Anwar bergandingan semula sebagai strategi PH untuk memenangi PRU-15.

Cadangan itu dibuat Mohamad ketika menyampaikan Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional 2020 AMANAH di Bukit Katil, Melaka yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi AMANAH, semalam

Tiada ulasan: