HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Disember 2020

UMNO bukan lagi dominan selepas PRU-14

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
MOHD. YAZID MOHD. YUNUS

KUANTAN: Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu menyaksikan UMNO tidak lagi menjadi sebuah parti yang dominan di negara ini.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Mohd. Yazid Mohd. Yunus berkata, segala-galanya kini telah pun berbeza kerana kerajaan pada ketika ini bukan lagi didominasi oleh UMNO. 

“Jadi, dalam segala aspek termasuk pembahagian kerusi, UMNO ketika ini seharusnya boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan parti-parti politik lain. 

“Bukan saya cakap soal bahagi sama rata (kerusi), tetapi duduk berbincang, berpakat demi keadilan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk pada ketika ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Ditanya apa akan berlaku jika UMNO memilih tidak bersama gabungan PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang, Mohd. Yazid berkata, apabila penyatuan politik itu diwujudkan, ia disambut baik oleh rakyat khususnya dalam kalangan orang Melayu.

“Bila ada penyatuan sekarang, ia demi kepentingan orang Melayu dan memberi peluang kepada UMNO untuk sama-sama mentadbir negara ini bersama Bersatu dan juga Pas. 

“Apabila tidak bekerjasama (PN), ia kerugian kepada UMNO sendiri dan rakyat dapat menilai siapa pejuang Melayu sebenar atau demi kepentingan politik kepartian,” katanya. 

Jelasnya, jika berlaku lagi perpecahan, ia akan memberikan kelebihan kepada PH dan mungkin mereka boleh menang PRU-15 akan datang. 

Ditanya berhubung jumlah kerusi dan kawasan yang akan ditandingi Bersatu di Pahang pada PRU-15, beliau berkata, Badan Pimpinan Bersatu negeri masih tunggu formula pengagihan kerusi yang akan diputuskan pucuk pimpinan PN. – UTUSAN

Tiada ulasan: