HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Disember 2020

Belum ada peguam hadir wakili Azmin hadapi saman pengundi Gombak

Malaysiakini

Tiada peguam hadir mewakili Mohamed Azmin Ali di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi pengurusan kes saman pengundi kawasan parlimen Gombak terhadap menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu.

Peguam yang mewakili pengundi Yohendra Nadarajan berkata wakil Azmin tidak datang walaupun surat mengenainya sudah diserahkan kepada ahli parlimen Gombak itu pada 1 Dis lalu.

Saman berkenaan difailkan pengundi terbabit pada 27 Nov lalu.

Berdasarkan Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, peguam mewakili defendan perlu dinamakan dalam saman tersebut dalam masa 14 hari dari surat mengenainya diberikan. 

Sepuluh pengundi dalam kawasan parlimen Gombak memfailkan saman ke atas Azmin dengan dakwaan menteri kanan itu melanggar janji yang dibuatnya ketika bertanding untuk pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Penolong kanan pendaftar mahkamah kemudian mengarahkan saya memfailkan afidavit (untuk membuktikan surat berkenaan diserahkan kepada Azmin). Dia kemudian menetapkan 14 Jan tahun hadapan untuk lanjutan pengurusan kes ini,” kata Yohendra selepas menghadiri pengurusan kes secara maya di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Maslinda Selamat hari ini.

Sekiranya masih tiada peguam hadir mewakili Azmin pada 14 Jan, Yohendra berkata, 10 pengundi kawasan Gombak akan memfailkan penghakiman ingkar terhadap menteri itu.

Mengikut undang-undang, plaintif boleh memfailkan penghakiman ingkar kepada defendan sekiranya mereka gagal hadir ke mahkamah.

Selain itu, plaintif juga boleh memfailkan memorandum kehadiran, meksipun surat tunjuk sebab telah diberikan secara sah kepada defendan.

Menurut surat salinan tuntutan itu, 10 plaintif terbabit memohon pengisytiharan bahawa Azmin melanggar kewajipan fidusiari, menipu selain memungkiri representasi yang dibuat terhadap kesemua plaintif dalam kawasan berkenaan. 

Kewajipan fidusiari bermaksud hubungan antara pemegang amanah dan benefisiari.

Plaintif malah mendakwa Azmin melanggar kepercayaan mereka setelah bekerja dengan BN ketika Langkah Sheraton sehingga menyebabkan keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Azmin yang terdahulu merupakan timbalan presiden PKR kini merupakan ahli Bersatu.

Tiada ulasan: