HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Disember 2020

145 ketua bahagian UMNO tolak kerjasama dengan PPBM? Bukan rahsia lagi, kata Puad FMT

Mohd Puad Zarkashi.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Mohd Puad Zarkashi, mendakwa 145 daripada 191 ketua bahagian parti memutuskan untuk menolak kerjasama bersama PPBM pada pilihan raya umum ke-15.

Beliau juga berkata PPBM menggunakan pelbagai taktik termasuk “sibuk membeli dan memujuk” ketua-ketua cawangan UMNO beralih ke PPBM dan menubuhkan cawangan baru parti itu.

“Kenapa tidak dipujuk ketua PAS, PKR, dan Amanah? Semasa orang PPBM jadi menteri besar, mereka gunakan jawatan ketua kampung sebagai tawar menawar tubuh cawangan baharu,” kata Puad, tanpa menyebut menteri besar mana yang dimaksudkannya.

“Sekarang guna perdana menteri untuk mendesak UMNO memberikan kuota 60-40 untuk lantik ketua kampung dan ahli majlis,” katanya di facebook.

FMT sedang cuba mendapatkan pengesahan rasmi UMNO mengenai penolakan PPBM oleh 145 ketua bahagian UMNO dalam menghadapi PRU-15.

Puad bagaimanapun berkata pendirian pemimpin UMNO bahagian itu “bukan lagi rahsia”.

Beliau berkata cubaan PPBM untuk melemahkan UMNO terserlah, dan pemimpin seperti Annuar Musa sengaja “tutup mata sebelah” kepada hakikat ini.

“Sebenarnya UMNO sedang ditikam dan dilemahkan dari belakang,” kata Puad.

Puad berkata perancangan PPBM melemahkan UMNO bertujuan membolehkan parti itu memperolehi lebih banyak kerusi untuk bertanding pada PRU-15.

“Sekarang ini mereka tidak boleh haramkan UMNO melalui perundangan, tetapi melayan UMNO dengan cara melemahkan…dan akhirnya kuburkan UMNO,” kata Puad.

Puad berkata dakwaan Annuar bahawa UMNO boleh “tergolek” kali kedua jika silap langkah dalam menghadapi PRU-15 harus dilihat daripada prespektif 145 ketua bahagian parti yang menolak kerjasama dengan PPBM.

Beliau berkata ketua bahagian berkenaan mencapai keputusan berkenaan kerana “tindak-tanduk PPBM mahu menggolekkan UMNO untuk kali kedua.”

“Kalau Annuar berkata akar umbi (UMNO) resah, mereka sebenarnya tahu apa yang sedang berlaku…mereka terdedah kepada pujukan dan tawaran (PPBM).

“Semoga UMNO bukan umpama, terlepas dari mulut buaya tetapi masuk ke mulut harimau,” kata Puad.

Tiada ulasan: