HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Disember 2020

Penubuhan parti Muda strategi Tun M? Pengasas bersama tidak setuju

Faris Danial Razi

Penubuhan parti Muda strategi Tun M? Pengasas bersama tidak setuju
Afiqah berkata, akar umbi parti muda itu tidak berpegang kepada 
mana-mana tokoh pemimpin. - Astro AWANI
 
KUALA LUMPUR: Dakwaan yang mengatakan pembentukan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) adalah strategi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam usaha mengumpul sokongan dua golongan berbeza, adalah tidak benar.
 
Demikian penafian dibuat salah seorang pengasas bersama Muda Malaysia, Afiqah Zulkifli, yang menegaskan, akar umbi parti itu tidak berpegang kepada mana-
mana tokoh pemimpin.
 
“Pengasas bersama Muda Malaysia terdiri daripada pemimpin civil society, yang kebanyakan daripada mereka tidak pernah pun bergelumang dengan politik.
 
“Bukan senang mengajak mereka terjun ke dalam arena politik kerana mereka sangat skeptik. Saya secara peribadi pun terkejut dengan kemahuan mereka untuk bersama mengubah landskap politik Malaysia.
 
"Jadi, saya agak tertanya-tanya dari mana datangnya pandangan sebegini? Kerana, kalau lihat senarai pengasas parti ini, bukan mudah untuk mereka sertai politik.
 
"Dan, mereka juga tidak mesra kepada Tun (Dr Mahathir), semuanya bersikap memberontak,” katanya.
 
Beliau berkata demikian sewaktu ditemu bual menerusi program Dialog Pembangkang di Astro AWANI yang berjudul 'Grand Coalition: Percaturan baharu pembangkang dan persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-15' malam tadi.
 
Selain Afiqah, turut sama di dalam dialog tersebut, Fatihah Salahuddin (Amanah), Muhamad Kamil Abdul Munim (AMK), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin (Pejuang). 
 
Sementara itu, Afiqah turut menyeru golongan muda supaya memainkan peranan sebagai pengubah landskap politik negara dan tidak hanya bergantung kepada pemimpin senior.
 
“Walaupun pemimpin di setiap parti terdiri daripada yang lebih senior, kita pemimpin muda daripada setiap parti sebenarnya mampu menjadi pengubah kepada landskap politik Malaysia.
 
“Sekiranya semua pemimpin muda dari setiap parti ini bersatu, kalau pemimpin di peringkat atasan tidak bercakap antara satu sama lain, kita yang di bawah ini mungkin boleh menterjemahkan idealisme politiik muda itu sendiri.
 
“Kita perlu duduk semeja, berbincang dengan matang dan lumat, apa jalan ke hadapan? Sebenarnya kita semua boleh jadi sebagai changemaker dalam parti masing-masing,” tambahnya.

Tiada ulasan: