Umno akan mengadakan pertemuan dengan ketua bahagiannya di seluruh negara awal bulan depan bagi mendapatkan pandangan dan mendengar suara akar umbi parti itu sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengarah Pilihan Raya Umno, Tajuddin Abdul Rahman, berkata ia hanyalah pertemuan biasa seperti mana diadakan sebelum ini.
"Pertemuan ketua Umno bahagian dengan presiden ini dianjurkan pengarah pilihan raya untuk presiden mendengar suara akar umbi berkenaan isu politik semasa serta persiapan hadapi pilihan raya umum.
"Langkah dan strategi yang ingin diambil bagi Umno menang besar dan bangkit kembali sebagai parti kerajaan," katanya.
Dia juga ditanya jika pertemuan itu akan turut membincangkan soal kerjasama Umno dengan Bersatu.
"Tidak ada, namun jika dibangkitkan kepimpinan akan dengar," katanya lagi.
Umum mengetahui bahawa hubungan Umno dengan Bersatu sedikit retak terutamanya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung 26 Sept lalu.
Ia susulan jawatan ketua menteri Sabah yang dikatakan sepatutnya menjadi milik Umno berdasarkan perjanjian awal.
Hubungan Umno dengan Bersatu juga sedikit tegang apabila Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu "digulingkan" daripada jawatan Menteri Besar Perak melalui usul undi percaya 4 Dis lalu.
Dalam proses pengundian yang dijalankan secara sulit itu, usul tersebut hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 yang tidak menyokong dan satu berkecuali.
Usul dibawa Adun Pengkalan Baru daripada BN Abd Manap Hashim.
Dalam pada itu Tajuddin berkata, berdasarkan tinjauan yang dibuat Umno sebelum ini dua pertiga pemimpin bahagian menolak kerjasama dengan Bersatu.
"Maknanya sokongan ahli Parlimen Umno hanya sampai PRU-15 atau sehingga Parlimen dibubarkan, selepas itu bawa haluan masing.
"Selepas
PRU kalau kita nak tubuh kerajaan bersama kita bincang selepas itu,
biasanya parti yang menang paling banyak akan menerajui kerajaan,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan