KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini memohon maaf kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Malah beliau juga menjunjung kasih kepada TMJ kerana sumbangan Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim sebanyak RM300,000 kepada penduduk Muar baru-baru ini.
“Sebagai manusia biasa, patik tak terlepas dari membuat kesilapan, patik ambil kesempatan untuk memohon ampun sekiranya jika ada tersinggung perasaan Tunku dan keluarga,” katanya dalam rakaman video di media sosialnya.
Sebelum itu, TMJ ada memuatnaik gambar cek sumbangan baginda kepada anak-anak Muar berjumlah RM300,000.
Bagaimanapun, dalam hantaran itu TMJ juga bertitah; Tak payah nak curi duit rakyat dan masih ada kes dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), tak payah nak menipu, tak payah nak berlakon dan tak payah nak botakkan kepala.
“Cukup-cukuplah mengguna Orang Muo (Muar) demi kepentingan peribadi. Lagi lagi apabila awak tu orang Arab Singapura bukan orang Johor.’
Dalam pada itu, Syed Saddiq juga mengucapkan terima kasih kepada TMJ kerana membantu merealisasikan urusan pembinaan Tunku Ismail Youth Centre di Muar.
Menurutnya, proses kelulusan itu diperoleh dengan kerjasama Perdana Menteri ketika itu dan Menteri Besar Johor namun dengan perkenan Sultan Johor dan TMJ dalam urusan tanah, ia dapat direalisasikan.
“Sebagai anak jati kelahiran Johor, membesar di Johor dan bersekolah di Johor, patik terhutang budi kepada Tunku dan keluarga,” kata Syed Saddiq.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan