HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Disember 2020

Kuarantin: Ini mungkin posting terakhir, kata Najib.

MGF10102020_TEMUBUAL-EKSLUSIF-DS-NAJIB09-1
Najib Razak

KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagaikan berputus asa apabila saranannya supaya pengembara dari United Kingdom dihalang daripada memasuki Malaysia, tidak didengari oleh kerajaan.

Beliau yang aktif menyuarakan cadangan tersebut ekoran kebimbangan terhadap varian terkini koronavirus itu berkata, kerajaan boleh memilih untuk meningkatkan semula tempoh kuarantin kepada 14 hari seperti sebelum ini bagi mengelakkan berlaku peningkatan penularan wabak Covid-19.

“Saya rasa ini kali terakhir saya buat posting tentang isu ini.

“(Saya) sudah membuat saranan selama enam hari berturut-turut sejak Ahad lalu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dalam komennya di posting berkenaan, Najib menambah, negara-negara lain telah mula mengetatkan pintu sempadan masing-masing serta melanjutkan tempoh kuarantin.

“Saya pun tidak faham. Jika kerajaan tak mahu ban (menyekat) terus, sekurang-kurangnya naikkan semula tempoh kuarantin dari tujuh hari ke 14 hari.

“Bukan kerajaan Malaysia yang tanggung kos 7 hari lagi kuarantin pun.

“Negara-negara lain ketatkan dan naikkan lagi tempoh kuarantin sebab mutasi baru ini tapi kita longgar dan pendekkan pula.

“Biarlah rakyat nampak kerajaan sedang buat sesuatu supaya rakyat rasa lebih selamat dan terjaga,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: