MALAYSIAKINI
Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin hari ini mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara.
Menyifatkan pelantikan itu bukanlah sesuatu untuk dibanggakan sebaliknya Khairil Nizam menganggap ia sebagai amanah yang cukup berat untuk dilaksanakan.
"Saya tidak pernah terfikir akan berada di tahap ini sekarang atau bercita-cita untuk menjadi seorang senator. Wadah ini adalah ruang untuk saya menjulang cita-cita Islam dan menabur khidmat untuk masyarakat.
"Seluruh tekad ini tidak akan mampu untuk dilunaskan melainkan dengan bantuan Allah SWT serta sokongan daripada segenap pihak terutama daripada Yang Dipertua Dewan Negara, para setiausaha dan bentara dewan, ahli-ahli yang berhormat senator, Pemuda PAS, Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional, rakan-rakan daripada pertubuhan bukan kerajaan dan pengamal media, ahli akademik, pemain industri serta simpatisan yang lain," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Khairil turut menyatakan penghargaan kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin atas sokongan moral dan kepercayaan yang diberikan kepadanya yang mewakili Pemuda PAS untuk membawa agenda belia di peringkat legislatif negara.
"Sokongan ini merupakan satu peluang besar yang akan dimanfaatkan untuk memperjuangkan polisi dan solusi bagi pemasalahan semasa yang melibatkan belia negara khususnya.
"Insya-Allah, saya akan berusaha sedaya upaya memikul tanggungjawab yang besar ini," katanya yang juga ketua Pemuda PN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan