HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Disember 2020

Perkukuh MN antara usul dibawa UMNO Selangor – Noh

Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL
NOH Omar (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian kepada salah seorang penerima di Masjid Al-Raudhah, Tanjong Karang, Selangor hari ini.

TANJONG KARANG: Mesyuarat Perwakilan Bahagian UMNO Selangor dijangka membawa tiga usul dalam persidangan yang berlangsung selama tiga hari bermula 1 Januari ini.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, tiga usul tersebut ialah memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN), mempercepatkan pilihan raya dengan bergantung kepada keadaan Covid-19 dan tiada pertembungan dengan Pas.

“Mesyuarat akan dijalankan di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang. Ini adalah antara tiga usul tetapi kita akan membawa salah satu daripadanya. 

“Mesyuarat untuk Pergerakan Pemuda dan Puteri pada 2 Januari manakala Bahagian akan berlangsung pada keesokan harinya,” katanya ketika ditemui dalam majlis Penyampaian Sumbangan kepada anak-anak yatim Kariah Masjid Al-Raudhah di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 86 anak-anak yatim menerima bantuan wang tunai RM250 daripada Masjid Al-Raudhah dan keperluan barangan harian daripada Noh.

Dalam pada itu, Noh yang juga merupakan Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, mesyuarat yang dijalankan akan berlangsung dalam keadaan norma baharu.

Menurutnya, mesyuarat akan dikendalikan dengan dua kaedah iaitu secara bersemuka dan dalam talian.

“Untuk bersemuka, kita hanya menetapkan kira-kira 350 sahaja berbanding 700 individu  dan mereka perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: