HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Disember 2020

Isu air: Pulau Pinang tunggu dan lihat tindakan dari Kedah

Kerajaan Pulau Pinang bersedia dalam segala hal terhadap tindakan yang bakal diambil oleh kerajaan Kedah berhubung isu tuntutan caj air mentah terhadap negeri itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ia berikutan tiada sebarang perbincangan rasmi dilakukan oleh kedua-dua pihak sejak isu tersebut dibangkitkan.

"Kita menunggu tindakan dari negeri Kedah, apa jua jenis tindakan yang mereka ambil kita akan lihat sebab sekarang cuma cakap dalam surat khabar (media) sahaja, tidak ada apa-apa yang rasmi, kita tunggulah," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah tapak Residensi Bukit Gelugor di sini hari ini.

Beliau berkata Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Mohd Nor tidak berminat dengan sumbangan sebaliknya mahu caj air mentah.

“... dan kita tidak setuju," katanya.

Kerajaan Kedah sebelum ini menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang ( PBAPP) membayar caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun namun Pulau Pinang menolaknya dengan pendirian ia sejajar dengan hak antarabangsa dalam menggunakan air sungai khususnya bahagian sempadan negeri ini.- Bernama

Tiada ulasan: