HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Disember 2020

PN amal penguatkuasaan terpilih – Guan Eng

MGF27082020_PC-GUAN-ENG10
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengamalkan penguatkuasaan undang-undang antara dua darjat – di antara menteri dan rakyat.

Dakwanya, ia bermula dengan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali yang diberi ‘layanan manja’ dengan denda kompaun sebanyak RM1,000 kerana melanggar perintah kuarantin rumah Covid-19 selama 14 hari, setelah kembali dari kunjungan peribadi di Turki.

Sebaliknya, seorang wanita Melayu berusia 72 tahun didakwa di mahkamah dan didenda RM8,000 serta penjara sehari, juga kerana melanggar peraturan kuarantin dan kesihatan Covid-19.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, sehingga kini kerajaan tidak dapat menjelaskan mengapa seorang menteri tidak didakwa di mahkamah seperti wanita berusia 72 tahun tersebut.

”Penguatkuasaan undang-undang yang terpilih oleh agensi penguatkuasaan ini, telah menyebabkan menteri lain juga tidak disiasat atau didakwa atas kesalahan rasuah dan mengesyorkan anak mereka dilantik sebagai pengarah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, berbanding dengan tindakan yang diambil terhadap penjawat awam biasa,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Guan Eng, PN telah mengakhiri tahun 2020 dengan satu lagi kes antara dua darjat berikutan kemalangan kecil disebabkan jalan berlubang di Banting yang melibatkan Menteri Sains dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Susulan insiden itu, dakwanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan segera membaiki jalan berlubang tersebut dan meminta maaf kepada menteri.

Guan Eng berkata, isu ini tidak ada kaitan dengan Khairy tetapi amalan antara dua darjat oleh JKR yang meminta maaf dan bertindak segera untuk membaiki jalan berlubang ketika seorang menteri terlibat dalam kemalangan itu.

Tetapi, katanya, JKR tidak peduli sama sekali ketika pihak yang cedera adalah rakyat biasa.

”Ini telah mengundang kemarahan awam terhadap JKR yang tidak berperikemanusiaan, terutama ketika mereka berjanji untuk melaksanakan dasar sifar jalan berlubang pada tahun 2016 di bawah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika itu.

”Mengapa tidak ada sikap yang serupa ketika begitu ramai rakyat biasa telah mati atau mengalami kecederaan serius akibat kegagalan JKR untuk membaiki jalan berlubang?

”Sejak Fadillah kembali menjadi Menteri Kerja Raya sekali lagi, beliau jelas gagal memenuhi tugasnya dan memenuhi janji sifar jalan berlubang,” dakwa Guan Eng lagi.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, kegagalan Fadillah untuk mengambil tanggungjawab terhadap amalan antara dua darjat oleh JKR sangat dikesali dan hanya menunjukkan menteri PN lebih berminat untuk berpolitik untuk mempertahankan kedudukan mereka dan sama sekali tidak mampu memberikan khidmat yang baik kepada rakyat. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: