HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Disember 2020

Usah bicara ‘grand coalition’ kalau Dr M tolak Anwar, kata Pemuda PKR

Setiausaha Pemuda PKR Syukri Razab berkata bagaimana mereka boleh 
berbicara soal gabungan besar dalam keadaan Dr Mahathir Mohamad 
masih secara terbuka menolak kepimpinan Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Pemuda PKR mempersoalkan cadangan beberapa pemimpin pembangkang untuk menubuhkan “grand coalition” atau gabungan besar antara parti itu.

Setiausaha Pemuda PKR Syukri Razab berkata, idea penubuhan itu bukan perkara baru dan individu yang giat mempromosinya gagal membentangkan formula yang jelas.

“Bagaimana mereka boleh berbicara soal gabungan besar dalam keadaan Dr Mahathir Mohamad masih secara terbuka menolak kepimpinan Anwar Ibrahim.

“Bagaimana mereka boleh berbicara tentang gabungan besar dalam keadaan presiden Warisan (Shafie Apdal) secara sinis dan terbuka menggambarkan kepimpinan Anwar sudah tidak relevan,” katanya.

Setiausaha Pemuda PKR Syukri Razab.

Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang mencadangkan gabungan besar itu.

Terbaru Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar menasihatkan pembangkang mencari kesepakatan jika mahu mengekalkan 108 kerusi dimiliki kini, di sebalik perbezaan pandangan mengenai pembentukan suatu gabungan besar untuk pilihan raya umum ke-15.

Katanya, jika pembangkang tidak mahukan gabungan besar itu mereka perlu pastikan parti tidak bertembung di semua 108 kerusi berkenaan.

Syukri berkata, pemimpin pembangkang yang mencadangkan gabungan itu mungkin mahu PKR, DAP dan Amanah membentuk suatu gabungan baharu dengan parti lain seperti Pejuang, Warisan, Muda dan lain-lain.

Beliau berkata, amat pra matang jika perbincangan mengenai gabungan besar itu hanya berlegar di sekitar saiz atau nombor.

“Kita wajar menekuni sejarah perjuangan panjang politik pembangkang di Malaysia. Bagaimana persefahaman yang rapuh akhirnya menyebabkan hancurnya kesatuan pembangkang.

“Tak perlu pergi terlalu jauh, lihat saja sikap kepimpinan PH sewaktu menjadi kerajaan selama 22 bulan. Tanpa segan silu ada yang menyebut ‘manifesto bukan kitab suci’ yang menyebabkan rakyat meremehkan keseriusan PH dalam menunaikan janji,” katanya.

Katanya, pihak yang terlalu obses dengan idea gabungan besar itu cuba membayangkan yang PKR perlu mengalah dan mengetepikan kepentingan parti demi pembentukan sebuah gabungan yang baharu.

Beliau menasihati pihak yang terlalu ghairah dengan idea itu, segera bermuhasabah diri kerana kenyataan dikeluarkan sudah terlalu bernada “Tun M”.

“Atau mereka ini sememangnya sudah buta hati selepas disogok dengan jawatan menteri, senator dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sepanjang 22 bulan PH menjadi kerajaan,” katanya.

Tiada ulasan: